suria

Remaja 17 tahun ditahan polis disyaki bunuh rakan, campak dalam parit

Mayat seorang remaja lelaki ditemui di dalam parit di Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh.

SEORANG remaja berusia 17 tahun ditahan oleh polis kerana disyaki membunuh rakannya yang dikatakan mengganggu teman wanita suspek.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa dikenal pasti sebagai lelaki berusia 21 tahun yang mayatnya ditemui pada 20 Ogos lalu.

Ahmad Adnan berkata, suspek dan mangsa adalah rakan yang tinggal di kawasan perumahan yang sama di Teluk Intan.

"Identiti mangsa sudah kita kenal pasti. Suspek dan mangsa adalah kawan dan jiran.

"Punca bunuh disebabkan suspek berasa cemburu kepada si mati kerana mengganggu teman wanita suspek yang berusia 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata polis berjaya menyelesaikan kes itu dalam tempoh 48 jam dan suspek ditahan pada 26 Ogos di Hutan Melintang.

Pada Khamis mayat lelaki tanpa dokumen pengenalan diri ditemui dalam parit di Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh di Rungkup.

Ahmad Adnan berkata mayat itu ditemui orang awam pada jam 4.48 petang dalam keadaan tertiarap di dalam parit berhampiran ladang kelapa sawit.

“Terdapat pelbagai kecederaan di tangan, kaki dan leher serta badannya reput; identiti tidak dapat dipastikan ketika itu.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati mangsa meninggal dunia akibat tetakan di kepala dan leher,” kata Ahmad Adnan.

Suspek kini direman selama seminggu dari tarikh tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain