suria

Sempat berkongsi kegembiraan cemerlang SPM, ibu kepada pelajar raih 11A meninggal dunia

Muhamad Shahril memperoleh keputusan SPM 11A.

SEMPAT berkongsi kegembiraan di atas keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anak, ibu kepada pelajar yang memperoleh 11A, Muhammad Syahril Saidi, 18, meninggal dunia pada Sabtu malam.

Ibu kepada pelajar itu, Allahyarhamah Tuan Faridah Tuan Ismail yang telantar akibat penyakit saraf sejak empat tahun lalu meninggal dunia pada usia 53 tahun.

Menurut laporan Berita Harian, Penghulu Mukim Kandis di Bachok, Kelantan, Razali Yasod mengesahkan perkara itu dengan memaklumkan ibu pelajar berkenaan meninggal dunia pada kira-kira pukul 8 malam.

Terdahulu, kisah Muhammad Syahril tular selepas pengorbanan pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang itu menjaga ibu yang sakit namun berjaya memperoleh keputusan semua A dalam SPM yang diumumkan, pada Khamis lalu.

Tular video memaparkan beberapa guru menghantar keputusan peperiksaan ke rumah Muhammad Syahril selepas dia tidak hadir mengambil keputusan itu kerana menjaga ibunya yang tidak sihat kerana sakit angin Ahmar sejak 2019.

Anak bongsu daripada enam beradik itu mendapat A untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains, Syariah, Usuluddin, Manahu al-Ulum Al Islamiah dan Al Adab Wal Al-Balaghah, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Syariah dan Al-Lughah Al Arabiah Al-Muasirah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain