suria

Usaha terakhir semakan kehakiman gagal, Najib kekal jalani hukuman penjara 12 tahun

Najib gagal dalam rayuan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan, pada Jumaat.

PERMOHONAN Datuk Seri Najib Razak untuk kebenaran menyemak semula kes SRC International ditolak oleh Mahkamah Persekutuan Putrajaya dengan keputusan majoriti 4-1.

Ini bermakna usaha terakhir bekas perdana menteri itu gagal dan dia akan menjalani baki tempoh hukuman penjara 12 tahun ke atasnya melainkan mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon diberi kebenaran menyemak keputusan rayuan akhirnya oleh panel yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Tuan Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu dan jika dibenarkan, memohon perintah supaya dibebaskan atau secara alternatif, rayuan akhirnya didengar panel lain.

Dalam keputusan majoriti 4-1 pagi Jumaat, panel membuat keputusan berkenaan selepas mendapati permohonan kebenaran semakan itu adalah lebih menjurus kepada permohonan untuk menyemak merit keputusan panel dalam rayuan akhirnya pada 23 Ogos tahun lalu.

Keputusan berkenaan dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, yang turut disokong Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais

Manakala, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Mohd Nazlan sehubungan itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain