suria

Ab Rauf calon Ketua Menteri Melaka baharu

Ab Rauf merupakan calon Ketua Menteri Melaka yang baharu.

PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh disahkan sebagai calon Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata, beliau telah menyerahkan cadangan itu kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

"Saya telah menyerahkan warkah kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka selepas menerima peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka.

"Dengan ini parti mencadangkan Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri baharu, noktah," katanya kepada peberita di Parlimen.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid Hamidi sahkan Sulaiman letak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka

Diminta mengenai sebab Sulaiman meletakkan jawatan, Ahmad Zahid berkata, ia dilakukan atas faktor kesihatan.

Mengenai pembahagian jawatan exco negeri di bawah ketua menteri baharu, beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dan ia akan mencerminkan semangat kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

"Sebab itu kita mahu mengambil semangat kerajaan perpaduan yang dilihat harmoni di peringkat persekutuan.

"Saya yakin semangat itu akan dihilirkan ke Melaka supaya optik yang baik dapat diperlihatkan kepada bukan sahaja rakyat di Melaka tetapi juga rakyat Malaysia," katanya.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka akan diadakan pada Jumaat ini.

Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Wira Zaidi Johari berkata, istiadat itu akan berlangsung di Dewan Sri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh, pada pukul 3 petang. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain