suria

Sakan berjoli guna kad ATM milik warga emas, siap bawa isteri beli iPhone... polis giat buru suspek

Tular rakaman CCTV memaparkan suspek dan isteri berbelanja menggunakan kad ATM tersebut.

KISAH pasangan dipercayai suami isteri yang didakwa menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) milik seorang warga emas kecoh diperkatakan di media sosial.

Terbaharu, polis mengesahkan sudah menerima laporan daripada mangsa dan kini sedang giat memburu suspek terlibat.

"Pada 27 Mac 2023, polis menerima laporan daripada lelaki tempatan yang juga pesara kerajaan berusia 62 tahun.

"Pengadu mengatakan kad ATM bank miliknya telah ditukar dan digunakan oleh individu tidak dikenali.

"Siasatan telah dibuka. Usaha untuk mengesan suspek juga telah dibuat," ujar Polis Kuala Langat menerusi satu kenyataan media.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, mStar melaporkan mangsa mengalami kerugian bernilai RM46,000 selepas wang simpanannya 'lesap' dikebas seorang lelaki yang menggunakan kad ATM miliknya, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki rosakkan mesin ATM, kemudian rompak secara ‘terhormat’... warga emas rugi RM46,000! Suspek dilihat bawa isteri beli iPhone

Menerusi ciapan yang tular di laman Twitter, difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa cuba mengeluarkan wang menerusi mesin ATM di sebuah bank, di Banting, Selangor.

Namun tanpa disedari mangsa, mesin ATM yang digunakannya sudah dirosakkan oleh suspek, menyebabkan kad bank milik mangsa tersangkut dan wang tidak dapat dikeluarkan.

Suspek kemudiannya cuba membantu dan didakwa menukar kad mangsa dengan kad berlainan ketika kejadian.

Suspek didakwa membuat sebanyak 23 transaksi termasuklah membeli telefon iPhone 13 Pro Mac di sebuah kedai komunikasi di Kapar.

Resit pembelian gajet itu serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis yang dikunjungi oleh suspek turut ditularkan di media sosial.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain