suria

Rezeki Ramadan... Anwar umum bantuan tambahan Aidilfitri, 850,000 orang bakal terima manfaat

Anwar umum bantuan Aidilfitri buat pekebun kecil getah, nelayan dan pesawah.

RAKYAT Malaysia sekali lagi mengukir senyuman selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023 pada Rabu.

Menurut Anwar, inisiatif berkenaan merangkumi lanjutan pelepasan cukai individu, peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) serta bantuan Aidilfitri yang ditunggu-tunggu ramai.

"Keadaan hidup rakyat miskin masih terasa. Dengan Ramadan, Aidilfitri, saya teliti mana kohort yang tidak peroleh manfaat daripada pengumuman sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Intipati Bajet 2023: Ini yang rakyat bakal terima daripada Kerajaan Perpaduan

"Saya lihat masih ada masalah terutama pada bulan Ramadan dan Aidilfitri. Maka saya bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan sebanyak RM200 lagi.

"Ia merupakan tambahan daripada apa yang telah diumumkan. Hal ini akan menelan belanja RM170 juta ringgit. Dengan penambahan ini, bermakna bantuan terbesar yang pernah diberikan kerajaan kepada nelayan, pesawah dan pekebun kecil getah," ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar turut bersetuju untuk menyalurkan saguhati Aidilfitri kepada lebih 200,000 anggota RELA serta sukarelawan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam.

"Selain itu khabar gembira juga disampaikan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang akan disalurkan mulai 5 April, di mana bayaran sehingga RM200 kepada setiap penerima STR. Sejumlah RM1.26 bilion diperuntukkan untuk Fasa 2 STR," ujar Anwar lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain