suria

Peniaga sorok ayam goreng panas-panas dalam tandas cangkung… Habuan jamu geng ponteng puasa di Bachok

Makanan dipercayai dijual untuk geng ponteng puasa disorok di tandas. Foto: FB Majlis Daerah Bachok

SUDAH tahu menunaikan puasa di bulan Ramadan merupakan rukun Islam yang ketiga, namun terdapat segelintir penganutnya yang culas menjalani ibadah berkenaan.

Lebih parah, wujud pula pihak yang 'bersubahat' apabila mengambil kesempatan dengan menjual makanan serta minuman kepada golongan ini.

Tular di laman sosial video memaparkan serbuan anggota Majlis Daerah Bachok, Kelantan terhadap beberapa premis yang didapati menjual makanan kepada golongan berkenaan.

Apa yang menjijikkan, makanan dan minuman disorok di lokasi yang kotor demi mengelakkan perbuatan mereka dihidu pihak berkuasa agama.

ARTIKEL BERKAITAN:Tiga lelaki ponteng puasa ditahan

Dalam satu video yang dimuat naik oleh @abemadzainudin83 yang dipercayai salah seorang anggota Majlis Daerah Bachok, kelihatan makanan disimpan di tandas dengan sebahagiannya diletakkan di dalam mesin basuh dalam keadaan tidak bertutup.

Manakala ayam perapan yan belum digoreng diletakkan di dalam bekas bersebelahan mangkuk tandas.

Dalam video lain pula, kelihatan satu tong bungkusan air teh 'o' ais yang diletakkan di dalam bilik yang bersepah dengan pakaian.

Menerusi muat naik di laman Facebook Majlis Daerah Bachok, operasi bersepadu itu merupakan operasi patuh syariah dan pemantauan premis perniagaan kedai makan sepanjang bulan Ramadan, yang diadakan pada 26 Mac.

Ia digerakkan bersama Pejabat Agama Jajahan Bachok (PAJ), Anggota Penguatkuasa Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDBBPI) dan Penolong Pegawai Agama MDBBPI.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain