suria

Lebih RM100,000 lesap sekelip mata, wang bantuan awal persekolahan dilarikan

Wang bantuan awal persekolahan lebih RM100,000 untuk sebuah sekolah disyaki disamun.

WANG bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor, lesap sekelip mata disyaki dilarikan oleh penjenayah.

Kejadian yang berlaku pada Isnin itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Memetik laporan Utusan Malaysia, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Ya kita ada terima laporan polis dan siasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Difahamkan, wang tersebut dikeluarkan dari sebuah bank oleh pengetua sekolah di pekan Semenyih pukul 10 pagi, sebelum cermin kenderaannya dipecahkan ketika pergi membeli minuman.

Wang berkenaan sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya pada Selasa.

Sejurus selepas mengeluarkan wang berkenaan, dia menuju ke arah kenderaannya yang terletak kira-kira 30 meter dari bank.

Difahamkan, wang itu diletakkan di bawah kerusi penumpang hadapan.

Dia kemudian ke kedai makanan bersebelahan bank untuk membeli minuman.

Namun sebaik sahaja tiba semula di kenderaannya, didapati cermin bahagian penumpang pecah dan wang telah hilang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain