suria

Pembangunan pesat sistem pembetungan negara demi pemuliharaan sumber air

LRK Pantai 2 kini lebih moden sealiran dengan pembangunan negara.

SEMEMANGNYA, sejak peradaban manusia paling awal, air kumbahan dibuang ke saluran pengairan yang terdekat, memanfaatkan pencairan dan pengoksidaan semulajadi sebagai rawatan.

Idea 'rawatan semula jadi' ini tidak salah kerana banyak bahan cemar dapat dikeluarkan melalui prosesnya, tetapi kadar pertumbuhan penduduk dan peningkatan pencemaran dalam air buangan, menjadikan pendekatan ini tidak lagi sesuai untuk kehidupan moden.

Malah, ia boleh mendatangkan bahaya kepada manusia dengan pelbagai penyakit bawaan air seperti taun, deman kepialu dan Hepatitis A, yang disebabkan oleh pencemaran daripada air sisa kumbahan.

Sehubungan itu, pembangunan pesat sistem pembetungan negara menjadi perhatian penting bagi Malaysia, dengan tujuan untuk memisahkan air kumbahan dari sumber air minuman demi melindungi kesihatan awam dan memelihara alam sekitar.

Malaysia melalui beberapa fasa dalam sejarah perkembangan sistem pembetungan. Seawal 1800an, Akta Perbadanan Perbandaran 1835 dibangunkan dibawah Lembaga Kebersihan yang berfungsi mengawal pembinaan, pembaikkan, pembersihan, perparitan, pengairan dan lain-lain. Beberapa enakmen turut diperkenalkan setelah tertubuhnya Jabatan Perancangan Bandar sekitar 1921, yang kemudiannya ditukar kepada Lembaga Bandaran pada 1946.

Berikutan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia pada 1963, sistem pembetungan seperti tangki septik individu, tangki septik komunal, tangki imhoff, kolam pengoksidaan dan sistem pembetungan bersambung telah diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia. Sistem ini diharapkan dapat mencapai matlamat dalam meningkatkan kesihatan masyarakat pada ketika itu.

Namun, pengurusan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pada waktu itu tidak menyeluruh dan peningkatan jumlah penduduk menyumbang kepada tahap pencemaran sungai dan sistem perparitan serta memberi kesan negatif terhadap kualiti persekitaran.

Oleh itu, kerajaan menggubal undang-undang khas, Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993 (Akta 508), yang diluluskan Parlimen pada Jun 1993. Akta 508, memberi mandat kepada Kerajaan Persekutuan untuk bertanggungjawab sepenuhnya dan kawalan ke atas pembangunan, pengurusan dan peraturan pengurusan kumbahan di seluruh negara.

Sehubungan itu, dalam usaha memantapkan sistem pembetungan negara, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd ditubuhkan pada 1994 bagi menyediakan perkhidmatan pembetungan ke atas 86 kawasan PBT kecuali Kelantan, kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Pasir Gudang dan Sabah serta Sarawak.

Selaras dengan arus pembangunan negara, loji-loji rawatan kumbahan moden dibangunkan yang mana loji-loji ini dapat merawat air kumbahan dengan lebih cekap untuk menampung pertambahan penduduk yang kian meningkat saban tahun.

Salah satu loji moden yang dikendalikan IWK ialah Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Pantai 2 (LRK Pantai 2) yang dibangunkan di atas tapak keluasan 17 ekar yang, sebelum ini loji berkenaan menggunakan sistem kolam oksidasi terbuka yang hanya boleh menampung 877,000 penduduk setara (PE).

IWK 2

Sistem oksidasi terbuka di LRK Pantai 2 sekitar 1984.

Kini, LRK Pantai 2 dinaiktaraf dan merupakan loji terbesar di rantau Asia Pasifik di mana ia juga adalah loji rawatan kumbahan bawah tanah pertama di Malaysia yang mampu merawat kumbahan bagi 1.42 juta penduduk setara (PE).

Loji ini dibina dengan kos sebanyak RM983 juta dan dibiayai sepenuhnya kerajaan. Apa yang menarik adalah, loji ini turut dilengkapi dengan beberapa inisiatif teknologi hijau seperti penggunaan janakuasa biogas dan papan solar bagi menghasilkan tenaga elektrik, penggunaan semula air bioefluen, dan penggunaan peralatan penjimatan tenaga.

Bahagian atas loji ini juga dibangunkan sebuah kawasan rekreasi setempat iaitu IWK Eco Park @ Pantai Dalam yang meliputi keluasan 12 hektar serta dilengkapi dengan kemudahan yang dibuka kepada orang awam seperti kawasan rekreasi, dewan komuniti, gelanggang badminton, futsal dan trek joging.

IWK Eco Park @ Pantai Dalam, taman rekreasi setempat yang terletak di atas LRK Pantai 2.

IWK Eco Park @ Pantai Dalam, taman rekreasi setempat yang terletak di atas LRK Pantai 2.

Setelah beroperasi melebihi 28 tahun, IWK juga meluaskan kawasan operasinya kepada seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, menyediakan berkhidmat kepada lebih 29 juta penduduk setara (PE) dan bertanggungjawab dalam memastikan 7,347 loji rawatan kumbahan, 1,398 stesen pam kumbahan dan 22,820 kilometer (km) saluran paip pembetungan awam bawah tanah berfungsi dengan baik demi kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam.

Malah, IWK juga meningkatkan inisiatif 'waste-to-wealth' secara amalan holistik dalam menjadikan bioproduk dari proses rawatan kumbahan sebagai sumber kekayaan baharu selain daripada aktiviti teras perniagaannya.

Ini kerana, IWK komited memperkasa prinsip ekonomi kitaran menerusi penggunaan semula produk sampingan, khususnya bioefluen, biopepejal, dan biogas. Beberapa usaha yang sedang dijalankan adalah seperti penghasilan air pulih guna daripada efluen terawat serta penghasilan tenaga diperbaharui dan baja untuk tanaman bukan makanan daripada biopepejal.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain