suria

[V] Ibu pelan-pelan mengesot atas bumbung, dukung anak dalam hujan selamatkan diri... Rumah hampir 80 peratus tenggelam

Tangkap layar menunjukkan seorang ibu mengesot di atas bumbung menghampiri bot penyelamat.

SITUASI banjir di Kelantan semakin buruk apabila negeri itu merekodkan peningkatan 1,160 mangsa setakat petang Selasa dengan jumlah keseluruhan adalah 26,513 orang.

Susulan itu pelbagai usaha digerakkan bagi membantu memindahkan mangsa banjir di kawasan terlibat.

Terbaharu tular satu video dimuat naik Suhaimi M Salleh di TikTok dipercayai berlaku di Kelantan menunjukkan situasi sebuah kediaman dua tingkat yang hampir tenggelam sebanyak 80 peratus.

"Rumah dua tingkat pun hampir tenggelam 80 peratus, semua duduk atas bumbung untuk selamatkan diri.

"Kami penyelamat dah cuba sedaya upaya untuk menolong mangsa-mangsa banjir," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jiran saksi 3 beradik kena renjatan elektrik, ibu dedah sebelum kejadian seorang anaknya ada bercakap tentang mati

Dalam pada itu, dia turut merakamkan detik cemas sebuah keluarga yang terkandas di tingkat atas kediaman mereka sementara menunggu bantuan tiba untuk menyelamatkan mereka.

Kelihatan seorang ibu terpaksa memberanikan diri mengesot di bumbung rumahnya sambil menggendong anak yang masih kecil.

Walaupun kelihatan sukar namun wanita tersebut tetap berhati-hati bergerak dengan berkaki ayam menghampiri bot penyelamat.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mendoakan keselamatan dan segala urusan mangsa menghadapi banjir dipermudahkan.

Bukan itu sahaja, netizen sempat berkongsi pengalaman mereka yang pernah menghadapi banjir sebelum ini.

Untuk rekod mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 30,015 sehingga pukul 4.30 petang Selasa, berbanding 25,353 mangsa pada pukul 8 pagi.

Mereka yang terdiri daripada 10,365 keluarga, ditempatkan di 141 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah.

Jeli yang dilanda banjir kini pulih sepenuhnya apabila kesemua PPS di daerah berkenaan ditutup petang ini manakala Pasir Mas terus menyaksikan peningkatan mangsa banjir dengan 11,070 mangsa.

Pasir Puteh pula merekodkan 5,254 mangsa, diikuti Tumpat (4,110), Kota Bharu (3,060), Kuala Krai (2,892), Tanah Merah (1,207), Bachok (1,104) dan Machang (795).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain