suria

Bekas pegawai bank dipenjara 10 tahun perdagang isteri untuk seks demi bayar hutang

Pesalah bakal menjalani hukuman penjara atas jenayah memperdagangkan isteri. -Gambar hiasan

SEORANG bekas pegawai bank dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah memperdagangkan isterinya untuk eksploitasi seks.

Hakim Datin Surita Budin mengarahkan tertuduh yang berumur 35 tahun menjalani hukuman bermula dari 30 Oktober iaitu tarikh dia ditahan.

Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh di sebuah hotel di Kuala Pilah sekitar pukul 1.30 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

Pihak pendakwa raya mahukan pesalah mendapat hukuman yang setimpal di atas jenayahnya.

Merujuk fakta kes, tertuduh meminta bayaran daripada pelanggan sebanyak RM1,000 untuk satu jam bagi mengadakan hubungan seks bersama isterinya.

Dia dilaporkan melakukan perkara tersebut untuk membayar hutangnya.

Siasatan polis mendapati tertuduh telah mengeksploit isterinya secara seksual bermula dari Julai.

Pasangan itu telah ditahan ketika operasi polis di hotel berkenaan pada hari kejadian.

Sebagai hujahan mitigasi, tertuduh mengemukakan rayuan untuk diringankan hukuman walaupun sedar dia telah melakukan kesalahan yang berat.

"Saya sedang menjalani tujuh tahun hukuman penjara dan tiga sebatan untuk kesalahan lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis 14 Tahun Melacurkan Diri Demi Telefon Pintar

"Saya berharap mahkamah dapat memberikan saya hukuman yang sama agar ia dapat dijalankan serentak.

"Saya juga meminta isteri saya untuk dilepaskan dari pusat perlindungan supaya dia dapat pulang ke pangkuan keluarganya di Sabah," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi meminta mahkamah untuk mengenakan hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

"Kepentingan awam adalah lebih penting dari permintaan tertuduh.

"Dia bukan sahaja mengekspolitasi isterinya untuk tujuan seksual tetapi juga telah melakukan pelanggaran hak asasi manusia," ujarnya.

Pada 21 November, tertuduh telah diarahkan untuk menjalani hukuman tujuh tahun penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah melacurkan isterinya demi menyara kehidupan.

Hakim Rushan Lufti Mohamad pada masa itu berkata, walaupun tertuduh telah mengaku bersalah, kepentingan awam juga perlu dipertimbangkan.

Tertuduh disabitkan di bawah eksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain