suria

Bekalan air di 472 kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pagi Rabu

Bekalan air di 472 kawasan yang terjejas di Selangor pulih secara berperingkat bermula malam Selasa. Gambar hiasan

BEKALAN air di 472 kawasan di Selangor yang terjejas berikutan pencemaran yang dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, pulih secara berperingkat mulai pukul 9 malam Selasa.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan pada malam Selasa berkata, bekalan air bersih dijangka akan mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada pukul 9 pagi Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran: 472 kawasan di Selangor alami gangguan bekalan air tidak berjadual

"Setakat jam 10.30 malam hari ini (Selasa), pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 49 peratus.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air," demikian menurut kenyataan tersebut.

Air Selangor menambah, bantuan alternatif melalui lori tangki masih lagi digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.

"Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas," katanya lagi.

Air Selangor juga berkata mereka akan terus memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkembangan terkini, dan rakyat Malaysia boleh merujuk akaun rasmi di Facebook, Instagram, Twitter serta melalui aplikasi Air Selangor, atau menghubungi pusat komunikasi Air Selangor di 15300.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain