suria

Pekerja Indah Water temui janin tersangkut pada loji kumbahan

Janin ditemui tersangkut dalam loji kumbahan di Tanjung Malim.

PEKERJA loji kumbahan syarikat Indah Water Konsortium Kota Malim Prima di Perak menemukan satu janin yang masih bertali pusat pada Jumaat.

Difahamkan, ia tersangkut pada besi penapisan sampah dan ditemukan kira-kira jam 10.20 pagi ketika pekerja tersebut sedang melakukan pembersihan di sistem penapisan loji terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat bayi baru lahir ditemui dalam kotak plastik

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, janin tersebut dipercayai dibuang melalui lubang tandas sebelum melalui saluran kumbahan.

Menurutnya, sisa kumbahan loji tersebut berpunca daripada beberapa taman perumahan dan kawasan perindustrian sekitar Kota Malim Prima.

"Siasatan lanjut ke atas janin mendapati ia tidak cukup sifat dan masih bertali pusat. Janin berukuran 9 sentimeter dan seberat 130 gram.

"Usia janin dianggarkan bawah 23 minggu dan disyaki telah meninggal dunia lebih 24 jam," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis serah tugas antara Ketua Polis Daerah Muallim, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dengan Deputi Superintenden Koo Tai Chew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim.

Tai Chew yang juga Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim akan memangku jawatan tersebut berkuat kuasa 16 April selepas Sulizmie Affendy dinaikkan pangkat daripada Superintendan kepada Asisten Komisioner.

Sulizmie Affendy yang bertugas di IPD Muallim hampir dua tahun itu akan memulakan tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (Perisikan/Siasatan Khas) Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

Mengulas lanjut Mior Faridalathrash berkata, mayat janin dihantar ke Unit Forensik Hospital Slim River untuk dibedah siasat.

Berdasarkan rakaman percakapan saksi pertama dia tiba di lokasi untuk membuat semakan sistem kumbahan kerana terdapat aduan tersumbat.

Tempat kejadian merupakan kawasan loji berkeluasan 0.4 hektar dalam keadaan berpagar dan berkunci, katanya.

Jelasnya, siasatan lanjut akan diteruskan untuk mengesan saksi-saksi dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain