suria

Pemergian yang dicemburui... Pesara TUDM meninggal dunia ketika solat Isyak berjemaah di masjid

Allahyarham Yusri Taib (gambar kecil) meninggal dunia semasa menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid An-Nur Saujana Utama, Isnin malam. Foto: Sinar Harian

SEORANG lelaki dilaporkan meninggal dunia semasa menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid An-Nur Saujana Utama, Sungai Buloh, pada Isnin malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.35 malam itu, Allahyarham Yusri Taib, 51, yang juga pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempat melafazkan kalimah Allah sebelum rebah semasa rakaat kedua dan disahkan meninggal dunia.

"Saya hanya mengetahui arwah suami sudah tiada selepas beberapa jemaah datang ke rumah kira-kira pukul 9.30 malam," kata balu Allahyarham, Safaridah Mat Jonet.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian yang dicemburui, bilal masjid rebah sejurus turun mimbar - “Semalam memang sedap dia azan, sedap dari biasa”

Menurut Safaridah, 52, kali terakhir dia bertemu Allahyarham Yusri adalah ketika suaminya itu bersiap untuk ke masjid.

"Kebetulan semalam (Isnin) saya tidak berapa sihat dan tidak dapat mengikut arwah mengerjakan solat Isyak dan terawih bersama-sama.

"Arwah pesan pada anak bongsu temankan saya di rumah, biasanya kami bertiga berjemaah di masjid," ujarnya.

Menyingkap keperibadian suaminya, Safaridah berkata Allahyarham seorang yang rajin melaksanakan ibadah, amat menjaga solat serta kerap ke masjid untuk menunaikan solat Subuh dan Maghrib secara berjemaah selain mengerjakan solat sunat tarawih sepanjang Ramadan kali ini.

Allahyarham juga disifatkan sebagai seorang bapa yang penyayang dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang anak yang taat dengan ibunya yang menetap di Alor Gajah Melaka.

"Sepanjang kami berkahwin, saya tidak pernah mendengar arwah meninggikan suara kepada ibunya dan peribadi arwah amat saya kagumi," katanya

Selain menghormati ibu, suaminya itu juga amat menyukai dan menyayangi kucing.

"Arwah suami sebelum kahwin dengan saya lagi memang suka kucing, malah pada pagi sebelum kejadian, arwah sempat membeli makanan 11 kucing peliharaannya," ujarnya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain