suria

RUU antilompat parti dibentang dalam sidang khas pada Ramadan - Anthony Loke

RUU Pindaan Perlembagaan anti lompat parti akan dibentangkan dan dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat sebelum Aidilfitri. Gambar hiasan

RANG Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan antilompat parti akan dibentangkan dan dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat yang diadakan pada bulan Ramadan, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi jaminan bahawa beliau akan memanggil sidang khas selewat-lewatnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Loke berkata Ismail Sabri mengesahkan perkara itu dalam pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk dirinya, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen pada Rabu (23 Mac).

ARTIKEL BERKAITAN: Bung Mokhtar gesa wujudkan undang-undang anti-lompat parti

"Perdana Menteri memberi komitmen bahawa RUU itu akan dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat melalui sidang khas pada bulan Ramadan akan datang, selewat-lewatnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Selagi kerajaan menunaikan janji untuk membawa RUU itu ke Parlimen, memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara Pakatan Harapan dan kerajaan kekal.

"Kami memberikan komitmen penuh bahawa Pakatan Harapan akan bekerjasama dalam memastikan pindaan perlembagaan dapat diluluskan, seterusnya melarang sebarang tindakan lompat parti," kata Loke dalam sidang media di Parlimen pada Rabu.

Tambahnya, RUU anti lompat parti itu sepatutnya dibentangkan dan dibahaskan pada Rabu untuk bacaan kali kedua, tetapi kerana beberapa isu teknikal, perkara tersebut tidak dapat dilaksanakan.

Beberapa ahli parlimen juga menggesa RUU anti-lompat dibentangkan dalam sidang kali ini.

September lalu, kerajaan menandatangani MOU dengan Pakatan Harapan bagi membawa pembaharuan dan kestabilan politik untuk negara.

Antara perjanjian itu ialah pembangkang tidak akan mendesak pilihan raya umum awal sebelum 31 Julai dan antara pembaharuan lain termasuklah pembentangan RUU anti-lompat parti.

Satu jawatankuasa bipartisan khas telah ditubuhkan untuk mengkaji cadangan RUU anti-lompat parti yang sesuai. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain