suria

Khidmat jurubahasa, penterjemah disediakan dalam acara rasmi demi martabatkan bahasa Melayu - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia bakal menyediakan kemudahan jurubahasa dan penterjemah dalam acara rasmi di peringkat kebangsaan dan dalam negara.

SEIRING dengan keputusan kerajaan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia bakal menyediakan kemudahan jurubahasa dan penterjemah dalam acara rasmi di peringkat kebangsaan dan dalam negara.

Menurut Ismail Sabri, ia akan dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Ujarnya, Malaysia akan mengambil langkah yang sama dengan menggunakan bahasa Melayu dalam acara rasmi di peringkat antarabangsa serta untuk acara antarabangsa yang dianjurkan di dalam negara.

"Untuk tujuan ini, kerajaan akan menyediakan kemudahan jurubahasa dan penterjemah yang akan dikendalikan oleh JPM dan ITBM, agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya ketika sesi pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Negara pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Ab Hamid yang meminta untuk menyatakan usaha kerajaan dalam memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan diplomatik luar negara serta hubungan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka akan dilaksanakan segera.

Jelasnya, KPM akan memulakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain