suria

Tragedi berdarah... tergamak tikam adik kembar hingga maut angkara dadah

Polis menjalankan siasatan di lokasi kes bunuh membabitkan pasangan beradik kembar.

TRAGIS apabila seorang lelaki dibunuh oleh abang kembarnya sendiri gara-gara berebut dan enggan berkongsi dadah, dalam kejadian di Kuala Langat pada Jumaat.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.30 petang di kediaman mereka di Kampung Seri Cheeding.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas dua beradik kembar itu bertengkar sesama mereka kerana dadah jenis syabu.

Menurutnya, pertengkaran itu telah membawa kepada pergaduhan sebelum salah seorang daripada mereka iaitu abang telah menikam adik kembarnya di bahagian dada menggunakan sebilah pisau.

"Majikan mangsa yang tiba ke rumah terbabit selepas dihubungi mangsa mendapati adik mangsa berada dalam keadaan terbaring di tepi jalan dengan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

"Mangsa yang ketika itu masih bernyawa telah dikejarkan ke Hospital Banting sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian telah menemui senjata yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

Katanya, suspek kemudian telah ditahan polis pada jam 10.45 malam pada hari kejadian di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat selepas dibawa oleh majikan mangsa.

"Siasatan mendapati dua beradik kembar itu adalah pekerja kebun sayur di mana mangsa memiliki rekod lampau bersabit satu kes jenayah dan 10 kes dadah manakala abangnya (suspek) mempunyai 12 rekod kes dadah.

"Suspek yang positif dadah jenis ganja dan syabu itu telah direman tujuh hari sehingga 18 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain