suria

Malaysia berada di fasa ‘peralihan ke endemik’ mulai 1 April... ini SOP yang perlu anda tahu

Ismail Sabri (tengah) membuat pengumuman mengenai fasa peralihan ke endemik.

SELEPAS dua tahun dilanda pandemik Covid-19, Malaysia akan memasuki fasa 'peralihan ke endemik' bermula 1 April depan.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas, Selasa petang.

Beliau berkata, perancangan pembukaan semula negara secara selamat dan berperingkat atau ReopeningSafely yang sedang diusahakan kerajaan terutama menerusi Menteri Kuartet iaitu Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa masih berjalan dengan lancar.

Menurutnya, keputusan peralihan fasa itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

"Fasa 'peralihan ke endemik' ini merupakan 'exit strategy' untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan Covid-19.

"Fasa ini juga merupakan fasa sementara sebelum negara beralih ke fasa endemik yang mana ia tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO)," katanya.

Berikut adalah prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan dalam fasa 'peralihan ke endemik':

1. Pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan.

2. Pendaftaran kemasukan menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan.

Hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan.

MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu/ pengunjung.

3. Had waktu operasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.

Pelaksanaan waktu operasi premis mengikut syarat lesen operasi premis.

4. Pemilik premis wajib pastikan sistem pengudaraan (ventilasi) yang baik di dalam premis.

5. Sentiasa menjaga kebersihan tangan.

6. Ujian pengesanan Covid-19 mengikuti tatacara National Testing Strategy.

7. Aktiviti solat jemaah di surau/masjid atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakkan fizikal.

Bagaimanapun ia tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Malaysia/ Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

8. Keperluan vaksinasi.

Had kapasiti pekerja yang bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan.

Rentas negeri dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi.

9. Kekerapan dan cara melakukan pembersihan premis diseragamkan bagi setiap kementerian.

10. Individu yang disyaki atau disahkan positif Covid-19 wajib mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.

Ujian pengesanan Covid-19 dan tatacara kuarantin.

Sebelum ini, terdapat had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai.

Dengan pengumuman peralihan ke endemik, had tersebut akan dimansuhkan secara menyeluruh, di mana tiada lagi had kapasiti 50 peratus.

Namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain