suria

Banjir Terengganu makin buruk, hampir 11,000 mangsa dipindahkan ke PPS

Antara rumah yang ditenggelami banjir di Kampung Lebak, Kuala Berang. Foto: Bernama

MAKIN buruk!

Itulah situasi terkini banjir di Terengganu apabila jumlah mangsa yang dipindahkan kini berjumlah 11,137 orang berbanding 6,963 orang pada pukul 8 malam Ahad.

Setakat pukul 8 pagi Isnin, 3,177 keluarga terjejas ditempatkan di 157 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu, Besut, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir Terengganu, Kelantan: Abang Viva sekali lagi mahu selamat mangsa banjir

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Kemaman merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 3,026 mangsa dari 827 keluarga sudah dipindahkan ke 22 PPS yang telah diaktifkan di sana.

Ia diikuti dengan daerah Hulu Terengganu di mana seramai 2,946 orang dari 950 buah keluarga ditempatkan di 27 PPS.

"Bagi daerah Besut, sebanyak 44 PPS sudah dibuka bagi menempatkan 2,187 mangsa yang terjejas banjir diikuti Setiu (1,277 orang) dan Dungun (1,236 orang)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kuala Nerus juga bertambah dengan 407 penduduk daripada 116 keluarga terjejas kini dipindahkan kelapan PPS susulan kenaikan air di kediaman masing-masing.

Sebanyak dua PPS turut dibuka di Kuala Terengganu bagi menempatkan 53 mangsa yang terjejas.

"Di Marang, keadaan banjir di daerah itu tidak berubah dengan satu PPS kekal dibuka di sana bagi menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga.

"Keadaan cuaca di Hulu Terengganu sekarang masih hujan manakala Setiu, Marang dan Besut hujan renyai. Di Dungun dan Kemaman adalah mendung dan cuaca dilihat cerah di Kuala Terengganu," katanya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain