suria

Kontak rapat dah terima dos penggalak, tidak bergejala tak perlu kuarantin - KJ

Khairy pada sidang media mengenai perkembangan kes Covid-19 di negara ini.

KONTAK rapat kepada pesakit Covid-19 yang telah menerima dos penggalak dan tidak bergejala tidak perlu menjalani kuarantin, berkuat kuasa 1 Mac.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media, Khamis petang.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kontak rapat perlu menjalani ujian kendiri (RTK) pada hari pertama dan ketiga pada tarikh akhir mereka terdedah dengan kes positif berkenaan.

"Jika keputusan negatif pada hari pertama dan ketiga, mereka boleh melakukan urusan seperti biasa. Sekiranya positif, mereka mesti melaporkan di aplikasi MySejahtera dan menjalani tempoh isolasi.

"Bagi mereka yang lengkap dos vaksin tapi belum menerima dos penggalak, mereka kekal perlu menjalani kuarantin dalam tempoh lima hari," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, operasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) akan diaktifkan semula, bermula Jumaat.

Ia susulan kes Covid-19 di negara ini melonjak kepada 31,199 kes baharu pada Rabu, angka tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik melanda Malaysia dua tahun lalu.

Menurut Khairy, pengoperasian semula PKRC Maeps bagi merawat pesakit Covid-19 berisiko rendah bermula dengan menempatkan 100 katil.

Beliau turut memaklumkan bahawa ia juga merupakan antara strategi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menangani gelombang Omicron.

"Ia juga membolehkan perkhidmatan hospital di Lembah Klang memberi rawatan kepada pesakit bukan Covid-19 tanpa gangguan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain