suria

Padah aksi ‘wheelie’ dengan anak kecil, lelaki ditahan polis

Suspek menunggang motosikal dengan membuat aksi ‘wheelie’ bersama seorang kanak-kanak perempuan.

POLIS menahan seorang penunggang motosikal yang membuat aksi 'wheelie' bersama seorang kanak-kanak perempuan yang memboncengnya, pada Khamis.

Penahanan itu dibuat susulan videonya berdurasi 36 saat itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Wahid berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan pada pukul 3 petang Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tempah maut tunjuk hebat buat aksi 'wheelie' dengan anak kecil, pakar kaunseling gesa polis ambil tindakan keras!

Beliau berkata, siasatan awal mendapati aksi menunggang motosikal secara berbahaya itu telah dibuat di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas di Johor Bahru dengan menggunakan telefon bimbit milik lelaki tersebut.

"Kita menerima video memaparkan suspek menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 bersama seorang kanak-kanak perempuan yang membonceng di bahagian hadapan motosikal dengan membuat aksi 'wheelie' iaitu mengangkat tayar hadapan.

"Tujuan aksi tersebut adalah untuk meraih perhatian warga net dan telah dimuat naik ke dalam akaun Facebooknya peribadinya pada 15 Februari kira-kira jam 7 petang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Rupiah berkata, sebanyak tiga saman telah dikeluarkan melibatkan kesalahan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikuti spesifikasi, tidak memakai topi keledar dan cukai jalan tamat tempoh.

"Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM15,000.

"Sekiranya ini adalah sabitan kedua, suspek juga boleh dikenali hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000," katanya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain