suria

Ritual tolak banjir: Raja Bomoh, Puteri Zaleha bebas dengan jaminan mahkamah

Ibrahim sebaik menyelesaikan bayaran wang jaminan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.

INDIVIDU yang digelar Raja Bomoh dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada Jumaat, susulan siasatan atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin, 71, dan Suliaha Abdul Hamid, 62, yang dikenali sebagai 'Puteri Zaleha' masing-masing diperintahkan membayar wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Hakim Syarie Mohammad Najib Ab Razak membuat ketetapan itu selepas membenarkan permohonan Pendakwa Syarie, Suhaili Ishak yang dikemukakan mengikut Seksyen 22 Enakmen Tatacara Jenayah Perak 2004.

Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak mengemukakan kertas pertuduhan pada prosiding itu kerana masih memerlukan masa untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.

Dalam prosiding itu, Suhaili memberitahu mahkamah bahawa dua individu terbabit telah disiasat di bawah Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 di sebuah rumah di Taman Rapat Jaya 1, Ipoh sekitar pukul 3.45 petang, 6 Januari lalu.

Bagi tujuan siasatan itu, dikemukakan agar kedua-dua mereka diberikan satu pembebasan dengan satu cagaran penjamin oleh mahkamah.

Suhaili memohon agar mahkamah mengenakan kadar jaminan maksimum RM3,000 mengambil kira kepentingan awam memandangkan kes yang telah tular dan mendapat perhatian umum.

Dalam rayuannya, Ibrahim yang mempunyai 32 anak dan tiga isteri, manakala Suliaha merupakan pesara penjawat awam memohon agar jaminan dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM3,000 setiap seorang dan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Siasatan ke atas kedua-duanya yang mempunyai hubungan sepupu itu dibuat susulan satu ritual menolak musibah banjir yang mereka lakukan di Dataran JPS di Teluk Intan. Video tersebut kemudian tular di media sosial.

Susulan video tular itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Rabu telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain