suria

Alat bantuan pernafasan rosak akibat banjir, pak guard dan isteri luluh hati kenang nasib anak bongsu

Kanak-kanak ini mula dikesan menghidap penyakit berkaitan paru-paru sejak berusia enam bulan. Foto: Sinar Harian.

TRAGEDI banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini membawa impak yang cukup besar ke atas mangsa.

Tidak terkecuali tentunya pasangan suami isteri ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilu lihat nasib mangsa banjir, mak usia 70 tahun gigih susun sumbangan pakaian... kasihan ibu siap takut, malu bila ramai sokong jadi wakil rakyat

Bagaikan malang berganda apabila bukan sahaja berdepan kemusnahan harta benda, sebaliknya alat bantuan pernafasan digunakan anak bongsu mereka turut rosak akibat banjir.

Norfardilatul Akmar Mustafa, 38, berkata, anaknya, Mohd Hisyamuddin Mohd Asri, 7, yang dikesan mempunyai masalah paru-paru kini berdepan kesukaran untuk bernafas dengan lebih sempurna selepas kerosakan alat bantuan itu.

"Suami (Mohd Asri Abdul Rashid) hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mempunyai pendapatan sekitar RM1,400 sebulan. Dengan harga RM14,000, kami tak mampu untuk membeli alat bantuan pernafasan yang baharu.

"Kami tidak tahu bagaimana lagi nak buat. Ketika air mula melimpah di kawasan rumah, saya cuma sempat berpindah dan membawa beberapa barangan penting sahaja, tambahan pula kami hanya mempunyai motosikal, jadi tidak banyak yang boleh kami bawa dan alat itu juga kami tak sempat untuk alihkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin, Kuantan pada Khamis.

Norfardilatul Akmar memberitahu, anak bongsunya itu mula dikesan menghidap penyakit berkaitan paru-paru sejak berusia enam bulan.

1407109

Norfardilatul Akmar (tengah) menunjukkan alat bantuan pernafasan anaknya yang rosak.

Susulan itu, katanya, Mohd Hisyamuddin sering dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi tujuan rawatan.

"Kami dimaklumkan oleh doktor pakar bahawa Mohd Hisyamuddin perlu menggunakan alat bantuan pernafasan bagi meneruskan kehidupan.

"Luluh hati saya dan suami apabila mendengar penjelasan daripada doktor pakar berkenaan, tapi ketika itu, pihak HTAA dan Pusat Zakat Pahang membantu dengan membekalkan peralatan terbabit, jadi bolehlah dia (Mohd Hisyamuddin) meneruskan hidup seperti biasa.

"Tapi banjir hujung tahun lalu benar-benar menguji kami apabila alat itu tak sempat kami selamatkan. Apa yang ada dalam fikiran kami sekarang ini adalah kesihatan Mohd Hisyamuddin sahaja. Bagaimana kami nak cari dana untuk membeli alat yang baharu untuk dia," katanya.

Ibu kepada tiga anak itu memaklumkan bahawa Mohd Hisyamuddin dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada Mac nanti.

"Kami berharap ada pihak sudi membantu anak saya mendapatkan alat bantuan pernafasan yang baharu," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan Mohd Hisyamuddin boleh menghubungi talian 011-2534 0421. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain