suria

Bimbang varian Omicron, kerajaan tangguh sementara kebenaran perjalanan umrah

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Foto: BERNAMA.

KEBENARAN perjalanan umrah untuk rakyat Malaysia akan digantung sementara mulai 8 Januari ini, kata Khairy Jamaluddin.

Menurut Menteri Kesihatan itu, jemaah yang pulang dari Arab Saudi pula akan dikenakan kuarantin wajib di pusat yang ditetapkan, bermula Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki pulang menunaikan umrah positif Covid-19, 10 lagi individu turut dijangkiti

Jelasnya, keputusan itu dibuat kerana kebimbangan terhadap varian Omicron Covid-19.

Malah kata Khairy, penjualan tiket untuk jemaah umrah baharu akan digantung mulai 1 Januari 2022.

“Tiada perjalanan untuk tujuan umrah dibenarkan selepas 7 Januari sehingga tarikh baharu diumumkan pada masa hadapan.

“Tempahan tiket penerbangan umrah baharu juga digantung berkuat kuasa hari ini.

“Jemaah umrah yang pulang ke Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mulai Isnin,” katanya pada sidang media Sabtu.

Jemaah yang berlepas ke Arab Saudi antara 1 hingga 7 Januari akan dibenarkan untuk meneruskan umrah tetapi perlu menjalani kuarantin di stesen atau hotel yang ditetapkan sebaik pulang ke Malaysia.

"Penangguhan sementara aktiviti umrah diharap dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron di negara ini dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Sehingga 31 Disember 2021, terdapat sebanyak 64 kes Omicron yang disahkan, yang mana sebanyak 32 kes atau 50 peratus dikesan dalam kalangan jemaah umrah, kata Khairy sambil menambah terdapat sembilan kluster melibatkan jemaah setakat 30 Disember 2021.

“Penggantungan aktiviti umrah untuk rakyat Malaysia diharap dapat memberi ruang kepada kerajaan membuat perancangan dan persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti umrah dibenarkan semula,” kata Khairy. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain