suria

Kerugian RM7 juta akibat loji rosak, IWK tetap tidak abaikan tanggungjawab sosial bantu mangsa banjir

IWK turut menyampaikan beberapa bentuk bantuan termasuk perkhidmatan mengosongkan tangki septik secara percuma. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

TATKALA mangsa banjir masih meratapi nasib mereka, ramai yang mula tampil untuk menghulurkan bantuan.

Tidak terkecuali tentunya Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd yang menghulurkan bantuan kepada beberapa komuniti yang terjejas akibat bencana kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hujan sehari bersamaan hujan sebulan di Selangor – PM

Syarikat perkhidmatan pembetungan nasional itu menyampaikan beberapa bentuk bantuan termasuk perkhidmatan mengosongkan tangki septik secara percuma, penyediaan bekalan keperluan asas dan makanan, serta membantu mencuci rumah mangsa termasuk kakitangan IWK yang terlibat.

Menerusi usaha murni itu, IWK turut memperuntukkan bantuan bernilai RM50,000 untuk diagihkan segera kepada keluarga yang terlibat di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pada masa yang sama, IWK turut bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan menyediakan sebanyak 32 tandas bergerak kepada lapan PPS.

Untuk rekod, banjir besar yang melanda turut mengakibatkan kerosakan kepada lebih kurang 254 loji rawatan air kumbahan IWK, dengan jumlah kerugian sekitar RM7 juta yang mana kebanyakkan loji-loji yang terbabit berada di sekitar negeri Selangor dan Pahang.

Proses membaikpulih kerosakan tersebut telah bermula di beberapa loji, dan dijangka kembali beroperasi dalam waktu terdekat sebaik sahaja peralatan diganti dan bekalan tenaga elektrik pulih.

Di Petaling Jaya, paip pembetungan IWK yang telah patah ditutup dan dibaiki oleh kontraktor yang mana kerja-kerja pembaikan dianggarkan siap dalam tempoh enam hari.

IWK juga ingin memaklumkan bahawa kaunter pembayaran, perkhidmatan pelanggan serta pejabat agensi perakuan untuk negeri Selangor di Loji Rawatan Kumbahan Wilayah (SAM272), Off Persiaran Perusahaan, Seksyen 23, Shah Alam, Selangor terpaksa ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak akibat bencana banjir ini.

Pelanggan dinasihat menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk urusan pembayaran, aduan dan permohonan pembangunan. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian 03-2083 2828 atau emel kepada [email protected].

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain