suria

Varian Omicron: Kerajaan tangguh kemasukan pelajar, pekerja asing dari negara berisiko

Khairy (gambar fail) memaklumkan perkembangan terkini mengenai varian Omicron. foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

KERAJAAN memutuskan untuk menangguhkan sementara kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara-negara yang disenarai berisiko jangkitan varian Omicron, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan berkata, terdapat 18 buah negara sudah melaporkan pengesanan 'Variant of Concern' (VOC) Omicron, setakat 30 November lalu.

"Kita akan menangguhkan sementara kemasukan pelajar antarabangsa dan juga pekerja asing dari negara-negara yang disenaraikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Varian Omicron: Kerajaan tangguh sementara peralihan ke fasa endemik

"Kita akan sentiasa pantau perkembangan VOC Omicron pada setiap waktu, setiap hari.

"Sekiranya langkah-langkah yang lebih ketat diperlukan, kita akan mengumumkan apabila keputusan itu dibuat," katanya pada sidang media, Rabu.

Jumaat lalu, Khairy mengumumkan bahawa rakyat Malaysia dilarang berkunjung ke tujuh negara, iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe, berikutan kemunculan jangkitan baharu Covid-19.

Beliau berkata, ia merupakan usaha kerajaan untuk mempertingkatkan langkah pencegahan dan kawalan sempadan, termasuk pengembara yang tiba di pintu masuk negara, berkuat kuasa Ahad.

Tambah Khairy, Malawi telah dimasukkan ke dalam senarai itu setakat 1 Disember.

Beliau juga berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan sekiranya mereka perlu mengenakan sekatan perjalanan sementara ke atas United Kingdom, Belgium, Belanda dan Australia berikutan laporan penularan varian Omicron di negara-negara itu. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain