suria

Kailan ikan masin kayangan : Restoran mengaku mungkin silap letak harga atau tersalah saiz hidangan

Penjelasan dari restoran berkenaan.

RESTORAN Anjung Ikan Bakar Nory, yang sebelum ini terpalit dengan kontroversi menjual sayur kailan ikan masin dengan harga yang tidak setara dengan kuantitinya, mengakui mereka mungkin tersilap meletakkan harga atau menyediakan saiz hidangan yang salah.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook mereka, restoran terbabit berkata harga bagi hidangan kailan ikan masin tersebut berbeza mengikut saiz iaitu hidangan bersaiz S dijual pada berharga RM6, M (RM12) dan L (RM18).

"Mungkin ada kesilapan yang tak disengajakan daripada pihak kami. Harap perkara itu tidak berlaku lagi.

"Kesilapan kami, mungkin juruwang kami tersilap memasukkan harga pesanan hidangan bersaiz besar (L) ataupun mungkin pesanan dibuat bersaiz besar tetapi pekerja bahagian dapur telah menyediakan hidangan tersebut bersaiz kecil (berdasarkan gambar yang tular)," tulisnya.

Sementara itu, restoran terbabit berkata, pelanggan yang berdepan dengan isu tersebut sepatutnya tampil bertemu dengan mereka secara terus dan tidak memuat naik di laman media sosial sehingga menjadi tular.

"Jika pihak kami silap, boleh datang terus bertemu kami untuk menyelesaikan isu ini dan bukannya ditularkan (di media sosial)," kata kenyataan itu.

Pada Ahad tular di media sosial harga sebungkus masakan sayur kailan ikan masin dijual pada harga RM18 di sebuah restoran di Kepala Batas.

Perkongsian itu dibuat seorang pelanggan di media sosialnya yang mendakwa harga masakan bagi seorang makan yang dibelinya itu terlalu mahal.

Pelanggan berkenaan memuat naik gambar sayur kailan ikan masin yang dibeli berserta resit pembayaran yang memaparkan harga RM18 bagi sebungkus sayur tersebut.

Perkongsian pelanggan terbabit mendapat perhatian ramai sehingga tular di laman sosial yang rata-rata mendakwa harga tersebut mahal.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang telah mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada peniaga sebuah restoran berhubung hantaran di media sosial mengenai hidangan kailan ikan masin pada harga RM18.

Dalam kenyataan pada Isnin, KPDNHEP Pulau Pinang dilaporkan berkata, peniaga itu perlu memberi maklum balas berhubung NPMB dalam tempoh dua hari bekerja bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

"Berikutan itu penguat kuasa kami telah pun ke lapangan (restoran) untuk menyiasat aduan itu semalam (Ahad) dan mengeluarkan satu notis NPMB kepada peniaga restoran berkenaan dan (mereka) perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari kepada KPDNHEP Pulau Pinang," menurut kenyataan itu. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Malaysia rekod 4,879 kes baharu Covid-19

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain