suria

“Saya dengar dua dentuman sangat kuat” – Pesawat TUDM terhempas, seorang terbunuh

Seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera dalam nahas pesawat Hawk 108, Selasa malam. foto Bernama

SEORANG juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pesawat pejuang Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth di Butterworth, Selasa malam.

Kapten Mohamad Affendi Bustamy disahkan meninggal dunia dalam nahas berkenaan.

Sementara itu, Mejar Mohd Fareez Omar dilaporkan mengalami kecederan berada dalam keadaan selamat dan stabil dan kini sedang diberikan rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Bunyi deruan pesawat yang luar daripada kebiasaan dan diikuti dengan dentuman kuat mengejutkan penduduk yang tinggal berhampiran dengan Pangkalan TUDM di Butterworth, Selasa malam.

Peniaga, Mastura Mohammad Nordin, 44 berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.07 malam itu membuatkan dia meluru melihat apa yang berlaku di landasan Pangkalan TUDM yang tidak jauh dari gerainya di Kampung Benggali, Sungai Puyu, di Butterworth.

Menurutnya, selepas mendengar dentuman kuat sebanyak dua kali dia melihat pesawat terbakar di atas landasan.

"Saya memang dah biasa dengan bunyi pesawat tetapi kali ini memang lain.

"Ketika ia hampir mendarat saya dengar dua dentuman sangat kuat sebelum melihat api marak ketika pesawat itu terhempas," katanya ketika ditemui media berhampiran lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua anggota yang terlibat dalam insiden itu.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan TUDM mengesahkan berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah pesawat pejuang Hawk MK108 di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth di Butterworth.

Dalam satu kenyataannya, TUDM berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 10.07 malam, Selasa.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh TUDM, jenazah Mohamad AffendI sedang diuruskan untuk tindakan selanjutnya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

Artikel Lain