suria

#Kitajagakita... Sokong peniaga tempatan, jom serbu Langkawi beli barang buatan Malaysia!

Nuri Enterprises adalah antara syarikat tempatan yang sertai kempen Beli Barangan Buatan Malaysia

#KITAjagakita merupakan antara frasa yang sering dilaungkan demi mencapai kesepakatan bagi melawan penularan wabak Covid-19 yang bukan sahaja meragut nyawa, bahkan mengganggu gugat kestabilan ekonomi negara.

Setelah hampir dua tahun, negara akhirnya membenarkan peniaga-peniaga yang terjejas teruk akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk kembali beroperasi.

Namun membina kembali perniagaan yang terjejas sepanjang tempoh pandemik bukanlah satu tugas yang mudah. Justeru itu mereka amat memerlukan sokongan daripada semua rakyat Malaysia.

Antara langkah yang boleh diambil termasuklah dengan menyokong peniaga tempatan menerusi Kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia.



Kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia akan diadakan bermula 11 hingga 14 November di Dataran Cenang, Langkawi.

Sehubungan itu, satu program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan diadakan selama empat hari bermula 11 November antara pukul 10 pagi hingga 10 malam di Dataran Cenang, Langkawi.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan di samping persembahan daripada artis terkenal tanah air seperti Azlan and The Typewriter, Baby Shima, Nuri Fiq dan Afieq Shazwan, buskers, pertunjukan kebudayaan, pertandingan dan cabutan bertuah.

Kempen tersebut akan disertai kira-kira 20 usahawan tempatan yang akan mempamerkan pelbagai produk berkualiti seperti makanan dan minuman, penjagaan diri, kosmetik, penjagaan mulut, barangan herba, batik dan kraftangan.

Tambah menarik apabila setiap syarikat yang menyertai kempen ini turut menawarkan harga istimewa untuk produk keluaran masing-masing.

Antara syarikat tempatan yang akan turut menyertai kempen tersebut adalah Ghazi Affan Holding Sdn Bhd yang menawarkan pelbagai promosi istimewa bagi pengunjung yang ingin mendapatkan 15 jenis produk penjagaan diri di bawah jenama Swag.

“Kami akan menyediakan tawaran dan promosi istimewa di Langkawi. Pengunjung boleh cuba produk dan minyak wangi kami,” kata Pengarah Urusannya Rozailmee Zulkeply, 38.

Menurut Rozailmee, Swag yang kini sudah menginjak usia empat tahun telah berjaya menembusi pasaran Australia, Jepun, Amerika Syarikat dan Perancis.

Produknya boleh didapati di kedai serbaneka sehenti Chois di Langkawi, serta farmasi dan kedai runcit.



Rozailmee menghebahkan tawaran pelbagai promosi istimewa produk jenama Swag.

Sementara itu, sebuah lagi syarikat tempatan, Nuri Enterprises akan mengambil kesempatan untuk memperkenalkan tujuh produk makanannya yang berkualiti tinggi.

“Pengunjung boleh membeli dan merasai produk signature kami yang berkualiti tinggi,” kata Pengarah Pemasaran syarikat berkenaan, Mohd Imran Mohd Kamal.

Syarikat tersebut mempunyai 18 produk seperti itu bihun, laksa, kuah sate, otak udang, kuah rojak, sambal pecal dan bawang goreng di bawah jenama Nureys, yang dijual di pasar raya besar dan pasar raya.

Pengunjung yang ingin mencuba barangan kosmetik dan balsem yang terhasil dari bahan semula jadi pula boleh melawat ke booth Lieza Anggun Enterprise yang akan mempromosikan 12 daripada 17 produk di bawah rangkaian Mahsuri Gold.

Selain di Malaysia, produk berkualiti tinggi ini turut dijual di Pattani, selatan Thailand.

“Kami akan memberikan sampel percuma serta menerangkan kepada pelawat mengenai hasil analisis yang telah dilakukan terhadap produk kami.

"Mereka yang membeli produk kami juga akan mendapat hadiah percuma,” kata Pemilik syarikat, Zuliza Zainon, 37.

Selain itu, Zuliza berkata, pengunjung juga boleh menyertai pertandingan bergambar bersama produk mereka.



Lieza Anggun Enterprise akan mempromosikan 12 produk di bawah rangkaian Mahsuri Gold.

NFA Technologies Sdn Bhd pula akan mempromosikan tujuh daripada 10 produk penjagaan mulut semula jadi di bawah jenama Mismis.

“Kami akan memberikan tawaran istimewa kepada pengunjung yang melawat ke gerai kami,” kata Pengarah Urusannya, Noormawarni Nordin, 40.



Noormawarni akan turut mempromosikan ubat gigi dengan ekstrak koko yang bersifat anti-bakteria.

Noormawarni mula memperkenalkan ubat gigi pudina pada tahun 2018 sebelum berkolaborasi dengan Lembaga Coco Malaysia dan menghasilkan produk penjagaan mulut dengan tambahan ekstrak koko yang bersifat anti-bakteria.

Produknya kini dijual di Brunei Darulsalam dan Maghribi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dijangka merasmikan kempen tersebut yang bertemakan Jom Sokong dan Beli pada 13 November ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain