suria

Keberkesanan nano mist bergantung kepada hasil semburan

RAMAI beranggapan penggunaan alat itu berupaya menghapuskan virus di udara dan juga di permukaan. — Agensi

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan keberkesanan penggunaan nano mist spray sebagai alat disinfeksi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, tahap keberkesanan penggunaan nano mist spray untuk disinfeksi bergantung kepada keupayaan alat terbabit bagi menghasilkan semburan yang sekata pada permukaan, jenis dan kepekatan larutan yang digunakan serta tempoh masa pendedahan.

"Secara umumnya pada masa ini, larutan disinfeksi sedia ada seperti larutan yang mengandungi alkohol 70 hingga 90 peratus, hydrogen peroxide, thymol, quarternary ammonia dan juga larutan berasaskan klorin berkesan bagi membunuh virus SARS-CoV-2 di permukaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Betul ke ubat kumur, cecair pencuci mulut mampu bunuh virus Covid-19? Ini jawab doktor

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan ikut nasihat salah! Kata Dr Amalina... hand sanitizer berkesan bunuh virus Covid-19 tapi tak boleh ganti amalan cuci tangan

"Senarai larutan disinfeksi yang berkesan untuk SARS-CoV-2 boleh diperoleh di laman sesawang Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat yang menjadi rujukan seluruh dunia," kata Noor Hisham.

Hisham 10

Noor Hisham memaklumkan tahap keberkesanan nano mist spray bergantung kepada keupayaan alat terbabit. — Bernama

Nano mist spray mula mendapat perhatian umum untuk digunakan sebagai alat disinfeksi bagi mengekang penularan Covid-19.

Ramai beranggapan penggunaan alat itu berupaya menghapuskan virus di udara dan juga di permukaan.

Jelas beliau lagi, larutan disinfeksi yang dinyatakan adalah bertujuan untuk proses nyahkuman di permukaan persekitaran dan tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia.

"Sesetengah larutan disinfeksi ini boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan juga sistem pencernaan.

"KKM ingin menegaskan, penyemburan disinfeksi melalui nano mist tidak menggantikan keperluan disinfeksi permukaan secara manual," ujar Noor Hisham.

Sementara itu, syarikat pengeluar alat perlindungan kesihatan, Hemanastic Sdn Bhd dalam satu kenyataanya berkata pihaknya maklum dengan kenyataan KKM dan menekankan penggunaan alat disinfeksi dengan betul.

"Alat disinfeksi tidak mendatangkan bahaya, tetapi penggunaan secara betul dan penyelesaian disinfeksi secara betul merupakan perkara penting," kata kenyataan itu.

Memetik kenyataan Noor Hisham, syarikat itu berkata proses disinfeksi merupakan cara berkesan membasmi virus SARS-CoV-2 dengan melibatkan penggunaan beberapa bahan termasuk quarternary ammonia, bahan yang digunakan dalam produk sanitasi SAVELIVES yang selamat digunaka kerana telah diuji di makmal dan mematuhi syarat KMM.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain