suria

Berita baik! Bantuan Khas Covid-19 untuk golongan miskin tegar, B40, M40 dan bujang dibayar bermula 6 September

Ismail Sabri (kiri) menerusi sidang video bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

BANTUAN Khas Covid-19 (BKC) seperti dijanjikan kerajaan sebelum ini menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang sepatutnya diagihkan pada Ogos, akhirnya dikreditkan kepada penerima bermula 6 September.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC, dan telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran tersebut.

"Hari ini (1 September 2021) dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan.

"Proses pengkreditan Fasa 1 akan bermula pada 6 September 2021 dan dijangka selesai pada 10 September 2021," katanya dalam satu kenyatan, pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penerima BPR akan terima bayaran secara berperingkat mulai esok, Bantuan Khas Covid-19 bermula Ogos

Ismail Sabri berkata, BKC akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan.

"Saya sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

"Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar," katanya.

bkc 2

Berikut merupakan fasa pembayaran BKC:

Kategori miskin tegar:

1. Isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM1,300 iaitu RM500 (Fasa 1), RM500 (Fasa 2) dan RM300 (Fasa 3).

2. Individu bujang/ warga emas/ sebatang kara kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM500 iaitu RM200 (Fasa 1) dan RM300 (Fasa 2).

Kategori B40:

1. Isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM800 iaitu RM500 (Fasa 1) dan RM300 (Fasa 2).

2. Warga emas/ sebatang kara kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 (Fasa 1).

3. Bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 (Fasa 1).

bkc 1

Kategori M40:

1. Isi rumah kategori M40 menikmati bantuan sebanyak RM250 (Fasa 1).

2. Warga emas/ sebatang kara kategori M40 menerima bantuan RM100 (Fasa 1).

3. Bujang kategori M40 akan menerima bantuan RM100 (Fasa 1).

Kriteria kelayakan penerima bagi miskin tegar dan B40 ialah bersandarkan semakan Bantuan Prihatin Rakyat 2021, iaitu pendapatan RM5,000 ke bawah bagi isi rumah atau warga emas, manakala bergaji RM2,500 ke bawah untuk individu bujang.

Golongan M40 pula layak menerima BKC sekiranya melaporkan cukai pendapatan, dengan jumlah gaji antara RM5,001 hingga RM9,000 bagi golongan isi rumah dan berpendapatan RM2,500 ke bawah untuk individu bujang.

BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pemulih, selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

Pada 28 Jun lalu, kerajaan mengumumkan Pakej Pemulih sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain