suria

Teka-teki akhirnya terjawab...Ismail Sabri sah PM ke-9

Ismail Sabri akan menggantikan Muhyiddin yang meletakkan jawatan baru-baru ini.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob sah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan selepas menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Istana Negara pada Jumaat, seramai 114 ahli Dewan Rakyat telah bersetuju untuk mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Ismail Sabri dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Sabtu.

Beliau akan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu selepas Ahli Parlimen Pagoh itu hilang majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Debaran kian terasa... Raja-Raja Melayu bincang calon PM hari ini

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri... Ini 10 fakta yang perlu anda tahu mengenai PM ke-9

Istana Negara pada Khamis menerima pencalonan Perdana Menteri daripada 220 ahli Dewan Rakyat menerusi surat akuan.

Pelantikan Ismail Sabri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Agong bertitah, menerusi pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu, kerajaan perlu meneruskan usaha memerangi pandemik Covid-19 demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara.

"Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik.

"Baginda juga mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19," ujar kenyataan tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain