suria

Ismail Sabri... Ini 10 fakta yang perlu anda tahu mengenai PM ke-9

Ismail Sabri (gambar fail) dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9. foto AZHAR MAHFOF/The Star

SAH! Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang Jumaat berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9, selaras Perkara 40(2)(a) dan dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, di mana seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ismail Sabri (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Teka-teki akhirnya terjawab...Ismail Sabri sah PM ke-9

Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan perdana menteri pada 16 Ogos lalu, selepas hilang majoriti sokongan ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Berikut adalah 10 fakta mengenai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang anda perlu ketahui:

1. Dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 18 Januari 1960.

2. Mendirikan rumah tangga pada 1986 bersama pasangannya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

3. Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan.

4. Anak sulungnya, Datin Nina Sabrina berkahwin dengan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, manakala anak lelakinya, Gadaffi atau lebih dikenali sebagai Dafi merupakan penyanyi dan pelakon.

keluarga ismail sabri

Ismail Sabri (empat, kiri) bersama isteri, anak, menantu dan cucu. foto instagram ninaismailsabri

5. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bangau, Temerloh, Pahang (1967), Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan, Pahang (1973) dan Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang (1976). Beliau menyambung pengajian Tingkatan Enam di Jaya Akademik dan kemudiannya Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (1980).

6. Memulakan kerja sebagai peguam sebelum dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik, pada 1995 dan berpengalaman menjadi jemaah menteri sejak 2008.

7. Menjadi Ahli Parlimen Bera dari 2004 sehingga kini.

8. Menerajui lima kementerian iaitu menjadi Menteri Belia dan Sukan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Menteri Pertahanan.

9. Sewaktu di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), selain menjadi Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), sebelum dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

10. Dalam parti politik, beliau bermula sebagai Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Temerloh (1987), Ketua Penerangan Umno Bahagian Temerloh (1988), Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Temerloh (1993) dan Timbalan Ketua Bahagian Temerloh (2001) serta Ketua Umno Bahagian Temerloh (2004). Kini, beliau merupakan Naib Presiden Umno.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain