suria

Debaran kian terasa... Raja-Raja Melayu bincang calon PM hari ini

Satu pertemuan khas Raja-Raja Melayu bakal berlangsung di Istana Negara, pada Jumaat.

TUMPUAN rakyat Malaysia kini adalah siapa yang bakal menjadi perdana menteri kesembilan, bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan perdana menteri.

Satu pertemuan khas Raja-Raja Melayu yang dijadualkan berlangsung pada pukul 2.30 petang Jumaat di Istana Negara bagi membincangkan isu semasa termasuk calon perdana menteri yang baharu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri akan mempengerusikan perbincangan tersebut seperti mana dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan.

Perbincangan khas berkaitan kemelut politik semasa negara itu merupakan kali kedua diadakan di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda berikutan peletakan jawatan dua Perdana Menteri yang hilang sokongan majoriti.

Terdahulu pada 28 Februari 2020, Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara berhubung tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya pada 24 Februari.

Pada perbincangan khas kali ini pula, ia diadakan susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lalu yang hilang majoriti apabila terdapat ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadapnya.

Siapa calon perdana menteri yang baharu mencetuskan polemik apabila tiada mana-mana parti dan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai jumlah majoriti, maka kerjasama politik diperlukan ketika ini bagi menamakan seorang ahli Parlimen untuk memegang jawatan nombor satu negara.

Justeru, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ahli Parlimen untuk menghantar surat akaun secara bertulis kepada Istana Negara bagi menamakan dan menyatakan sokongan kepada calon pilihan masing-masing.

Difahamkan hanya dua nama yang mendapat saingan sengit iaitu Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain