suria

Boleh 'dine-in' di negeri Fasa 1 PPN mulai esok

Aktiviti dine-in di restoran di negeri Fasa 1 PPN kini dibenarkan mulai esok. — BERNAMA.

INDIVIDU yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk melakukan aktiviti dine-in di restoran mulai Jumaat.

Kemudahan itu adalah tambahan kepada kemudahan sektor sosial selepas dipersetujui dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Perdana Menteri Caretaker, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengusaha-pengusaha premis kedai makan disarankan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

Beliau berkata, hal ini kerana risiko penyebaran virus Covid-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, pemilik premis kedai makan perlu memastikan individu yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil vaksinasi Covid-19, yang menunjukkan individu terbabit telah menerima vaksinasi lengkap.

"Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ketat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PN sokong Ismail Sabri, tapi ada syarat - Muhyiddin

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Dua hari berturut-turut pecah rekod baharu, 22,948 kes dicatatkan hari ini

Jelasnya, aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house juga dibenarkan selaras dengan kebenaran dine-in.

"Pemilik premis perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap," katanya.

Namun, katanya, operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

Selain itu, Muhyiddin berkata, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) juga dibenarkan di negeri-negeri Fasa 1 PPN dan ia terpakai di dalam daerah yang sama sahaja.

"Aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik.

"Oleh itu, aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Katanya, ini termasuk termasuk joging, senaman, taichi, berbasikal, skaterboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (perseorangan), badminton (perseorangan), golf, permotoran dan seumpamanya.

Tambahnya lagi, aktiviti lain yang dibenarkan termasuk perkelahan dan perkhemahan dan penyertaan anak-anak berusia 17 tahun ke bawah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.

Malah, katanya, operasi pasar malam dan pasar minggu juga dibenarkan bermula esok.

"Pihak penguatkuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap," katanya.

Ketika ini, negeri-negeri dalam Fasa 1 PPN adalah Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kedah, Melaka dan Johor selain Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

dine-in, fasa 1 PPN, vaksinasi

Artikel Lain