suria

Pengasas Rumah Bonda didakwa di mahkamah, mengaku tidak bersalah abai kanak-kanak OKU

Siti Bainun (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

SUSULAN kes membabitkan kanak-kanak perempuan Sindrom Down yang menggemparkan negara baru-baru ini, pengasas Rumah Bonda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mengaku tidak bersalah berhubung pertuduhan mengabaikan kanak-kanak perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Tertuduh yang berusia 29 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes dera remaja OKU, permohonan reman pengasas rumah kebajikan ditolak

ARTIKEL BERKAITAN: Adik Bella dipercayai jadi mangsa dera, JKM sita Rumah Bonda

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak itu telah mengabaikannya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit di Irama Wangsa Kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun lalu.

Atas pertuduhan itu, Siti Bainun yang aktif dalam sebuah parti politik didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 berserta syarat tidak mengganggu hubungan mangsa atau saksi, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

"Kes ini termasuk dalam kes berkepentingan awam malah sesuai dengan hasrat kerajaan untuk melindungi kanak-kanak yang juga orang kurang upaya (OKU) dan mendapat liputan meluas di media.

"Mangsa dalam kes ini merupakan seorang OKU Sindrom Down selain tertuduh terbabit dalam kegiatan politik,” katanya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain