suria

31 ahli Parlimen BN, Umno terus sokong kerajaan pimpinan Muhyiddin

Seramai 21 ahli Parlimen parti itu hadir dalam sidang media tersebut dan 10 yang lain tidak dapat hadir. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

SERAMAI 31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 31 ahli Parlimen tersebut turut bersetuju supaya usul percaya dibentangkan di Parlimen pada September ini.

ARTIKEL BERKAITAN: "Tidak bertanggungjawab jika abai rakyat kerana arahan parti" - Ismail Sabri

Jelas beliau, ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustaffa Billah Shah supaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan pentadbiran dan menentukan keabsahan di Parlimen tidak lama lagi.

"Hari ini, seramai 21 ahli Parlimen telah membuat pendirian yang juga disokong 10 ahli Parlimen yang tak dapat hadir, yang mana pendirian kami adalah menjunjung kasih dan menjunjung titah Agong iaitu memperkenankan supaya kerajaan hari ini meneruskan pentabdiran dan menentukan keabsahan di Parlimen.

"Agong setuju dan memperkenankan supaya usul percaya dibentang di Parlimen dan ahli Parlimen boleh menentukan pendirian sama ada menyokong atau tidak.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Jadi, jelas bahawa Agong mahu supaya Parlimen diadakan dan penentuan sama ada untuk kerajaan hari ini berfungsi ditentukan ahli Parlimen sendiri pada September," ujar beliau.

Beliau berkata demikian menerusi sidang media khas yang dibuat di Dewan Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat.

Seramai 21 ahli Parlimen parti itu hadir dalam sidang media tersebut dan 10 yang lain tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain.

Antara yang hadir termasuklah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Halimah Sadique, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

10 lagi ahli Parlimen yang tidak hadir tetapi telah menyatakan pendirian yang sama ialah Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Seri Reezal Merican (Kepala Batas), Datuk Seri Dr Adham Bab (Tenggara), Arthur Joseph Kurup (Pensiangan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya) dan Datuk Seri Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain