suria

Covid-19: 11 kes positif di Parlimen pada Khamis

Pasukan KKM menjalankan ujian saringan ke atas 1,183 individu menggunakan RTK Ag saliva test kit.

SERAMAI 11 individu dikesan positif Covid-19 dalam saringan yang dilakukan di Parlimen, pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama dikesan menerusi RT-PCR, manakala 10 lagi dikesan melalui RTK-AG Saliva Test Kit.

Kes pertama melibatkan seorang individu yang bertugas di Parlimen dari Isnin (26 Julai) hingga Rabu (28 Julai).

"Individu itu disahkan positif Covid-19 pada 29 Julai (Khamis) melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan, selepas mengalami gejala batuk dan selesema.

"Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan RTK Antigen (Ag) saliva test kit kerana beliau mengalami gejala batuk," kata beliau dalam kenyataan, pada Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua kes itu negatif Covid-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen.

"Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan kes, didapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.

"Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula 26 Julai 2021 untuk menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan RTK Ag saliva test kit," tambahnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Dr Noor Hisham, pasukan KKM menjalankan ujian saringan ke atas 1,183 individu menggunakan RTK Ag saliva test kit.

"Daripada jumlah yang disaring tersebut, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif Covid-19," tambah beliau.

Beliau turut memberitahu daripada 11 kes di Parlimen, seramai sembilan individu mengalami gejala ringan, manakala selebihnya tidak bergejala.

Susulan kes-kes positif Covid-19 tersebut, Dr Noor Hisham berkata, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

"Semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

"Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen," katanya.

Terdahulu, KKM mengesan 56 kes positif Covid-19 hasil saringan sebelum sidang Parlimen.

Ia termasuk dua ahli Parlimen, enam pembantu dan 48 pegawai kerajaan yang tidak dibenarkan menghadiri sidang Parlimen ketika ini. - The Star

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain