suria

Tindakan batal Ordinan Darurat teratur, PM sudah nasihatkan Agong

PM pada 23 Julai lalu turut mengutuskan warkah Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan.

TINDAKAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan Ordinan Darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, Yang di-Pertuan Agong telah dimaklumkan mengenai hal itu sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula pada Isnin lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tarik sokongan terhadap PM... Umno minta Muhyiddin, Takiyuddin letak jawatan secara terhormat

"Oleh kerana darurat tidak disambung jemaah menteri memutuskan untuk menasihati Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh tuanku sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

"Susulan ketetapan-ketetapan ini, PMO pada 22 Julai telah menerima draf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan Jabatan Peguam Negara.

"Ordinan ini memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan Agong dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai 2021," ujar kenyataan itu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Malah, Muhyiddin pada 23 Julai lalu turut mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan baginda mengenainya.

"Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021, semua Ordinan Darurat telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat yang mana ia selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Namun ahli-ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimahsyurkan oleh yang di-Pertuan Agong.

"Susulan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai menteri bertanggungjawab telah memaklumkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan iaitu Jemaah Menteri telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan berkenaan," jelas kenyataan itu.

Kenyataan PMO itu dikeluarkan susulan titah Agong yang amat dukacita dengan tindakan kerajaan dalam mengendalikan hal berkaitan ordinan darurat termasuk mengelirukan Dewan Rakyat.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain