suria

Vaksin Sinovac, Pfizer sama berkesan lawan Covid-19 - Dr Noor Hisham

Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam. -gambar hiasan

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data perubatan menunjukkan vaksin Sinovac dan Pfizer mempunyai keberkesanan yang sama dalam melawan virus Covid-19.

Beliau berkata, perkara itu dibuktikan melalui data perubatan mengenai pengalaman Chile menggunakan vaksin Sinovac yang diterbitkan dalam laporan New England Journal of Medicine 7 Julai lalu.

"Tidak banyak perbezaan ditemui antara vaksin Sinovac dan Pfizer dalam penggunaan secara praktikal.

"Kedua-duanya sangat efektif dalam mengelakkan penyakit teruk Covid-19 sehingga dimasukkan ke hospital, namun kurang berkesan menentang kesan ringan atau yang tidak mempunyai gejala," katanya dalam kenyataan di Facebook beliau, pada Selasa.

Noor Hisham berkata, laporan tersebut menunjukkan seramai 4.2 juta penduduk lengkap divaksin berbanding 5.5 penduduk yang tidak divaksin bagi tempoh Februari hingga Mei tahun ini.

"Sinovac didapati mengurangkan jangkitan Covid-19 sebanyak 65.9 peratus, mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak 87.5 peratus.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Selain itu ia mengurangkan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 90.3 peratus dan mengurangkan kematian sebanyak 86.3 peratus," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Israel turut menunjukkan vaksin Pfizer mengurangkan jangkitan sebanyak 64 peratus.

Menurutnya, kementerian itu juga menjelaskan, Pfizer menunjukkan keberkesanan sebanyak 93 peratus terhadap simptom yang menyebabkan kemasukan ke hospital dan gejala serius.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia akan menghentikan penggunaan Sinovac selepas bekalannya habis kerana mempunyai jumlah vaksin lain yang mencukupi untuk Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK).

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Sinovac, Pfizer, vaksin Covid-19,

Artikel Lain