suria

Kecoh ramai dakwa didaftar jadi ahli secara automatik, ini jawapan tegas Rela!

Ramai yang terkejut nama mereka didaftarkan sebagai ahli Rela secara automatik. -gambar hiasan foto FAIHAN GHANI/The Star

JABATAN Sukarelawan Malaysia (Rela) menegaskan dakwaan menggunakan data peribadi seseorang untuk didaftarkan sebagai anggota Rela secara automatik tanpa mendapat kebenaran individu berkenaan adalah tidak benar.

Rela menerusi kenyataan pada pagi Selasa mengulas mengenai kekecohan di media sosial sejak Isnin mengenai orang awam yang mendakwa diri mereka telah didaftarkan sebagai ahli Rela secara automatik di dalam sistem MyRela.

"Perbuatan ini bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh ramai didaftarkan jadi ahli Rela tanpa sukarela, bimbang salah guna data peribadi

"Rela maklum akan kegusaran orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 berkuatkuasa," katanya dalam satu kenyataan.



Antara perkongsian orang awam di laman Twitter.

Menurut Rela, merujuk kepada Seksyen 7(1) Pendaftaran sebagai anggota Rela, Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) tahun 2012 menyatakan bahawa; Seseorang yang berumur 18 (lapan belas) tahun dan ke atas yang berupa seorang warganegara dan bukan seorang anggota Angkatan Tentera atau mana-mana pasukan atau skim sukarelawan yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis boleh memohon secara bertulis kepada Ketua Pengarah untuk didaftarkan sebagai anggota Rela.

Manakala Seksyen 5(1) Akta (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964 Peraturan-Peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) 1966 Pindaan 1 Februari 2005 (telah dibatalkan) menyatakan; Kecuali diperuntukkan kemudiannya, setiap orang lelaki yang telah mencapai umur 18 (lapan belas) tahun dan orang yang belum mencapai umur 55 tahun hendaklah bertanggungan untuk berkhidmat dalam Ikatan Relawan Rakyat.



Antara orang awam yang mendakwa namanya dalam senarai ahli Rela tanpa sedar.

Sehubungan itu, kata Rela, jabatan itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit.

"Rela juga dalam usaha melaksanakan program pemutihan keanggotaan di mana anggota yang tidak aktif dan telah mencapai tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaan.

"Bagaimanapun, program pemutihan keanggotaan berdasarkan Seksyen 9 Akta ini digantung sementara kerana Rela sedang menumpukan usaha untuk melawan wabak Covid-19," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut kenyataan itu lagi, bagi anggota yang masih berminat untuk menyambung keanggotaan boleh berbuat demikian dengan memaklumkan secara bertulis kepada Ketua Pengarah Rela.



Seorang lagi terkejut namanya dalam senarai keanggotaan Rela.

"Kepada individu terbabit yang mendapati telah didaftarkan sebagai anggota Rela dan ingin menamatkan keanggotaan sila hubungi talian berikut 03-8870 3770 dan emel pro_rela@moha.gov.my untuk dibatalkan keanggotaannya," katanya.

Terdahulu menerusi laman Twitter, segelintir orang awam terkejut apabila nama mereka tersenarai sebagai anggota berdaftar dengan pasukan beruniform itu menerusi semakan yang dibuat.

Rata-rata mereka berkongsi tangkap layar semakan yang dibuat menerusi laman web semakan ahli Rela, dengan pendaftaran telah dibuat sejak 2010.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain