suria

Guru buat jenaka rogol dipindahkan sehingga selesai siasatan

Ain menerima banyak kritikan apabila dia membuat pendedahan seorang guru melakukan jenaka rogol sewaktu di dalam kelas.

GURU yang didakwa membuat jenaka rogol sehingga membangkitkan kemarahan banyak pihak baru-baru ini telah dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga siasatan berhubung kes itu selesai.

Menerusi satu kenyataan media Kementerian Pendidikan berkata, mereka mengambil maklum laporan polis yang dibuat oleh murid berusia 17 tahun yang membuat dakwaan tersebut pada 24 April lalu dan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan sehingga siasatan selesai.

ARTIKEL BERKAITAN: Ain dihina, digelar ‘anak setan’ selepas suarakan isu jenaka rogol di sekolah... komen biadab dari akaun FB pengetua jadi persoalan

ARTIKEL BERKAITAN: Guru buat jenaka rogol, KPM pandang serius dakwaan pelajar - “Kami tidak bertoleransi”

“Memandangkan insiden tersebut dalam siasatan polis, KPM tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang tempoh siasatan.

“Ketika ini KPM menempatkan guru berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga siasatan tersebut selesai dan tindakan KPM seterusnya bergantung kepada hasil siasatan kes ini, ” kata kenyataan tersebut, Selasa.

KPM juga telah meneliti secara terperinci mengenai komen tular yang dikatakan dibuat oleh pengetua sekolah terbabit menerusi aplikasi Facebook.

“KPM mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh pengetua berkenaan di Balai Polis Kuala Selangor yang menafikan bahawa beliau telah memuat naik komen berkenaan dan mengesyaki akaun Facebook miliknya telah digodam, ” katanya.

Mengulas lanjut, KPM turut menjelaskan perkara berkaitan Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama yang diterima murid perempuan berkenaan yang pemantauannya dilaksanakan melalui SIstem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

“Sekiranya murid tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut atau sepuluh hari tidak berturut-turut tanpa mengemukakan sebab secara bertulis kepada pihak sekolah dan guru, sistem ini akan menjana pemberitahuan berkenaan yang kemudiannya akan diposkan kepada ibu bapa atau penjaga murid terlibat.

“Bagi tempoh 16 hingga 30 April lalu, sekolah berkenaan telah mengeluarkan sebanyak enam pucuk surat pemberitahuan berkenaan kepada ibu bapa dan penjaga yang anak mereka tidak hadir ke sekolah tanpa sebab, ” jelasnya.

Sebelum ini satu pendedahan dibuat oleh seorang murid perempuan di sebuah sekolah tentang seorang guru yang menggunakan jenayah rogol sebagai bahan jenaka di dalam kelas membangkitkan kemarahan orang ramai.

Artikel Lain