suria

Sumber mineral negara dianggar cecah RM4.11 trilion, mampu beri pulangan berganda melalui Pelan TIM 2021-2030

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, meneliti beberapa jenis mineral dan bahan batuan yang wujud di seluruh Malaysia.

MALAYSIA bumi bertuah.

Begitulah ungkapan yang tepat untuk menggambarkan kepelbagaian sumber mineral yang wujud di negara ini.

Malaysia dikatakan bumi bertuah kerana kesan daripada sejarah pembentukan bumi yang berlaku jutaan tahun dahulu telah menghasilkan kepelbagaian sumber mineral yang kini amat penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Malah, setiap sumber ini memiliki nilai yang signifikan dan berpotensi untuk dibangunkan.

Bagaimanapun ia perlu diuruskan mengikut prinsip kelestarian dan kemampanan sumber untuk masa jangka panjang.

Jika disoroti, industri mineral negara sukar untuk berkembang maju semenjak kemerosotan perlombongan bijih timah.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah

Ia disebabkan kurangnya pelaburan dalam penerokaan sumber mineral baharu.

Situasi ini turut berlaku kerana faktor-faktor luaran seperti pertukaran penggunaan tanah, perkembangan kawasan perbandaran dan kepesatan pembangunan sektor-sektor lain terutamanya sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Ia sekaligus menyebabkan industri mineral pada masa kini dianggap tidak lagi menarik.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, seharusnya semua pihak perlu melihat industri ini sebagai industri asas yang menyokong pelbagai sektor ekonomi strategik yang lain.

“Tanpa pengeluaran sumber-sumber mineral, sektor-sektor seperti sektor pembinaan, pengilangan, elektrik dan elektronik, telekomunikasi, logistik dan lain-lain turut akan mengalami kesukaran dalam meneruskan aktiviti masing-masing.

“Oleh itu, selain bergantung kepada bahan mentah mineral yang diimport adalah wajar ianya diperolehi daripada sumber tempatan yang memang tersedia ada tetapi tidak diterokai sewajarnya," ujar beliau kepada mStar.

Dalam kerancakan aktiviti ini, perkara asas yang perlu diberikan perhatian adalah berkaitan kesan yang mungkin timbul kepada alam sekitar dan habitat semulajadi.

Jelas beliau, kepentingan pengekalan kawasan hutan akan terus menjadi agenda kerajaan, justeru sebarang aktiviti penerokaan dan perlombongan mineral di kawasan hutan simpan tidak akan dibenarkan.

“Ini termasuk kawasan sensitif alam sekitar (KSAS), kawasan tadahan air, kawasan sumber air bawah tanah dan kawasan habitat hidupan liar.

”Ia bagi mengelakkan gangguan kepada ekosistem dan implikasi terhadap risiko bencana, nilai sokongan hidup, nilai khazanah serta nilai warisan kawasan tersebut," ujar beliau.

Menurut Shamsul Anuar, hala tuju pembangunan industri mineral negara hendaklah mengguna pakai teknologi baharu terutamanya bagi mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan taburan mineral, guna tanah dan pengoperasian lombong yang lebih efisien.

”Kini, aktiviti perlombongan dan pengkuarian di negara-negara maju telah memasuki satu fasa penggunaan pelbagai teknologi geofizik, pengimejan 3D, realiti maya (virtual reality), realiti perantaraan (argumented reality), sistem maklumat geografi (geographical information system), kenderaan panduan sendiri (autonomus vehicle), dron dan lain-lain teknologi terkini.

”Pada masa yang sama, usaha membangunkan platform pangkalan data yang komprehensif perlu dilakukan termasuk aplikasi kebolehkesanan (traceability) sumber mineral bagi tujuan pemantauan dan kawalan perdagangan," ujar beliau lagi.

Bagi membangunkan semula industri mineral negara supaya menjadi satu industri yang berkembang pesat dan maju, kerajaan telah merangka pelan jangka panjang yang dinamakan sebagai Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030).

Pelan ini akan dilaksanakan sepanjang Rancangan RMKe-12 dan RMKe-13 bertujuan untuk mempertingkatkan pembangunan dan pengurusan industri mineral dengan memberi penekanan kepada penciptaan nilai tambah, diusahakan secara lestari dan mencipta industri sokongan termasuk penggunaan teknologi terkini dalam Revolusi Industri 4.0.

Hala tuju utama pelan ini adalah ‘sumbangan signifikan industri mineral kepada pertumbuhan ekonomi’ dan dijadikan sebagai agenda utama yang perlu dicapai.

Visi ini dipandu melalui misi `membangunkan industri mineral merangkumi keseluruhan rantaian nilai berteraskan kepada prinsip kemampanan’.

”Pelan ini dibangunkan berasaskan kepada 5 teras utama merangkumi tadbir urus dan perundangan, pembangunan rantaian nilai industri mineral, pemetaan dan inventori sumber mineral, aplikasi teknologi dan inovasi serta pembangunan modal insan.

Hala tuju utama pelan ini adalah ‘sumbangan signifikan industri mineral kepada pertumbuhan ekonomi’ dan dijadikan sebagai agenda utama yang perlu dicapai.

”Pelan TIM 2021-2030 mensasarkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, industri mineral di Malaysia akan berkembang dalam rantaian nilai yang lengkap dari peringkat huluan hingga hiliran terutama bagi mineral-mineral strategik," ujar beliau.

Bagi menjayakan aspirasi ini, beliau berkata kerajaan telah menetapkan beberapa sasaran utama sebagai petunjuk keberhasilan kepada kemajuan pelaksanaan pelan ini.

Antaranya adalah peningkatan sumbangan sub-sektor perlombongan dan kuari kepada KDNK daripada 0.7 peratus kepada 1 peratus pada tahun 2030, penubuhan Lembaga Pembangunan Industri Mineral Malaysia, pengurangan ketidakseimbangan perdagangan dan menggerakkan keseluruhan rantaian nilai industri mineral merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

“Berasaskan kepada pemetaan awal, sumber mineral negara adalah dianggarkan mencecah RM4.11 trilion dan oleh itu, sekiranya sumber ini dapat digunakan secara optimum, ia akan dapat memberi pulangan berganda terhadap ekonomi negara seterusnya dapat mengelakkan daripada berlakunya kemajiran sumber mineral di Malaysia.

“Selain itu, terdapat beberapa jenis sumber mineral yang dilihat sebagai mineral strategik untuk dibangunkan merangkumi mineral bijih timah, pasir silika, kaolin, bauksit dan unsur nadir bumi bukan radioaktif (non-radioactive rare earth elements - NR-REE).

“Mineral-mineral ini perlu diutamakan bagi kegunaan domestik agar negara dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber mineral yang diimport.

”Kerajaan juga mensasarkan sumber mineral ini dibangunkan secara lebih efisien melibatkan pelaburan dari dalam dan luar negara menggunakan teknologi maju dan mesra alam. Melalui pelaburan ini, dijangkakan pembangunan kawasan-kawasan yang disasarkan sebagai wilayah (kluster) industri mineral dapat direalisasikan," ujar beliau.

Menerusi Pelan TIM 2021-2030, konsep ’Circular Economy’ akan diterapkan dalam aktiviti perlombongan agar dapat memaksimumkan penggunaan sumber mineral yang ada, di samping mengguna semula sisa lombong yang masih mempunyai nilai.

Selain itu, konsep ’urban mining’ turut akan diperkenalkan melalui pengekstrakan bahan mineral daripada bahan-bahan sisa buangan dari isi rumah, komponen elektronik dan sebagainya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Malah, kerajaan telah membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk dijadikan panduan kepada semua pihak yang berkaitan. Ini menunjukkan usaha kerajaan tidak sahaja tertumpu kepada pembangunan ekonomi, malahan turut mengutamakan aspek kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk agar sasaran untuk membangunkan Industri ini secara mampan akan terlaksana.

Tambah beliau lagi, setiap perancangan yang telah ditetapkan dalam Pelan TIM 2021-2030 juga mengambil kira peranan yang wajar dimainkan oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri dalam pembangunan industri mineral ini.

Sehubungan itu, kerajaan akan memastikan sasaran yang ditetapkan sepanjang 2021 hingga 2030 berjaya dicapai mengikut pelan tindakan dan garis masa yang telah dirancang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain