suria

Zahid nafi wujud perbualan telefon dengan Anwar

Tular rakaman audio perbualan didakwa mirip suara Ahmad Zahid (gambar) dan Anwar di media sosial. Foto: RAJA FAISAL HISHAN/The Star.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan wujudnya perbualan telefon antara beliau dengan presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai prestasi bekas menteri itu dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

"Saya kecewa dan terkejut dengan klip audio viral yang didakwa sebagai rakaman perbualan antara saya dan Anwar.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar klip audio didakwa mirip suara Zahid, Anwar tersebar

"Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa terdapat perbualan seperti dalam klip audio dan ingin menegaskan bahawa tidak ada perbualan antara saya dan Anwar selepas Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

"Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan untuk mengetahui dalang di sebalik perkara ini," kata presiden Umno itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Zahid berkata rakaman itu adalah usaha politik untuk melemahkan Umno.

"Ini adalah permainan politik yang jahat dan membuktikan bahawa ada usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan Umno.

"Saya percaya lebih banyak muslihat kotor seperti ini akan diteruskan untuk memperkecilkan dan menghancurkan Umno.

"Sebagai Presiden Umno, saya tidak akan sesekali mencabuli apatah lagi membelakangi apa jua ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Unmno dan Perhimpunan Agung Umno," katanya.

Terdahulu, tular rakaman audio perbualan didakwa mirip suara Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar di media sosial.

Video tersebut dipercayai bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung Umno yang menegaskan bahawa Umno tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, dalam video berdurasi 4 minit 17 saat menerusi akaun Facebook Insider Malaysia itu, turut kedengaran suara dipercayai mirip dengan Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung Umno itu menerusi panggilan telefon. - The Star.



Artikel Berkaitan

Artikel Lain