suria

Maybank perkenal Secure2u, tiada lagi SMS TAC di telefon

Pengguna Maybank kini boleh mengaktifkan Secure2U. Foto: Twitter Maybank

MAYBANK mengumumkan bahawa tiada lagi SMS TAC bakal dihantar ke telefon pengguna untuk sebarang transaksi Maybank2u.

Penamatan khidmat SMS TAC untuk transaksi ini diganti dengan cara Secure2u, iaitu kaedah pengesahan yang lebih canggih dan mudah.

Sebelum ini, transaksi Maybank2u boleh disahkan melalui SMS TAC dan memasukkan nombor TAC, namun pengguna kini hanya perlu mengesahkan transaksi melalui Secure2u di aplikasi sahaja.

Bermula 15 Mac ini, pengguna diminta menggunakan Secure2u untuk transaksi melibatkan pembayaran bil melalui Maybank2u, di samping untuk transaksi IBG melibatkan sebarang nilai.

Syarikat itu dalam satu kenyataan di laman webnya mengatakan bahawa langkah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menyediakan pelanggan dengan keselamatan perbankan dalam talian yang lebih baik.

Bank tersebut mendakwa Secure2u adalah cara yang lebih selamat dan lebih mudah untuk mengesahkan transaksi, yang boleh dilakukan sama ada dengan menggunakan Secure Verifiction (Pengesahan Selamat) atau Secure TAC (nombor TAC enam digit yang dihasilkan pada aplikasi mudah alih Maybank2u).

Pengesahan Selamat membolehkan pengguna Maybank2u menyetujui atau menolak transaksi dalam talian pada peranti mereka setelah amaran pemberitahuan mengenai transaksi dihantar ke telefon mereka.

Sebagai alternatif, Secure TAC membolehkan pengguna meluluskan transaksi dalam talian di laman web Maybank2u dengan memasukkan nombor TAC enam digit dari aplikasi.

Sekiranya pengguna telah mendaftar untuk Secure2u, maka perkhidmatan tersebut akan menjadi kaedah lalai untuk semua transaksi.

Untuk mengaktifkan Secure2u, pengguna perlu memuat turun aplikasi Maybank2u di Google Play atau Apple App store.

Klik pada tab Menu di sebelah kiri dan pilih Secure2u kemudian ikuti arahan.

Pengguna akan diminta memasukkan kata laluan (One Time Password) yang dihantar ke nombor telefon mereka, memasukkan nombor ID dan kemudian hantar (submit). - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Maybank, Secure2U, SMS TAC

Artikel Lain