suria

Kerap guna penyaman udara ketika cuaca panas, ikuti langkah jimat elektrik

Permintaan elektrik yang tinggi antara lain didorong oleh penggunaan penyaman udara yang lebih kerap dan tempoh yang panjang.

CUACA panas yang melanda negara ketika ini menyebabkan penggunaan elektrik yang tinggi, antaranya disebabkan oleh penggunaan penyaman udara yang lebih kerap dan untuk tempoh yang panjang.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan berkata, kompresor sistem penyejuk pada sebarang perkakas elektrik juga terpaksa bekerja lebih kuat dan perlu menggunakan tenaga lebih banyak bagi mengekalkan paras suhu yang sejuk ketika cuaca panas.

"Penggunaan elektrik dapat dijimatkan jika penggunaan penyaman udara dapat dioptimumkan dengan menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celcius dan menutup tingkap dengan langsir yang tebal supaya haba tidak masuk.

"Penjimatan juga dapat dinikmati menerusi penggunaan pemasa untuk menutup penyaman udara pada awal pagi, dari pukul 2 pagi ke atas (ketika cuaca mulai sejuk) dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk dan pengedaran udara di dalam bilik.

"Senggaraan terhadap penyaman udara secara berkala pula dapat memastikan ia berfungsi dengan lebih efisien dan menjimatkan," menurut TNB dalam satu kenyataan.

TNB berkata, penggunaan tinggi elektrik berikutan taburan hujan yang agak rendah sejak Februari lalu, diikuti gelombang haba yang menyebabkan cuaca panas.

Mengulas lanjut, TNB memberitahu, penggunaan elektrik bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia meningkat kepada 18,035 megawatt (MW) pada 2 Mac 2021, berbanding 17,501MW pada Februari dan 16,585MW, Januari lalu.

"Penggunaan yang tinggi ini dicapai ketika ekonomi negara masih dalam fasa pemulihan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

"Untuk rekod, penggunaan elektrik tertinggi direkodkan negara adalah 18,808MW pada 10 Mac 2020, lapan hari sebelum PKP mula dilaksanakan," jelasnya.

Selain itu, TNB berkata, penjimatan elektrik juga dapat dilakukan dengan mengelakkan daripada membuka pintu peti sejuk secara kerap dan untuk tempoh yang lama.

Malah, pengguna yang berhasrat untuk membeli peralatan elektrik baharu dinasihatkan memilih perkakas elektrik berpandukan label Kecekapan Tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

"Peralatan berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang lebih menjimatkan penggunaan elektrik.

"Pengguna juga boleh membuat kiraan penggunaan perkakas elektrik menggunakan kalkulator tenaga di rumah (Home Energy Calculator) di laman web myTNB," katanya sambil menambah bahawa anggaran pengiraan tersebut adalah berdasarkan keadaan peralatan yang berfungsi dengan sempurna.

Bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai langkah penggunaan elektrik yang boleh diamalkan, boleh layari laman web myTNB.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain