suria

Remaja hamil hingga lahirkan anak, penganggur mengaku tak bersalah dakwaan rogol... janji untuk kahwin dengan mangsa

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 April depan. Foto: Sinar Harian.

MALANG nasib seorang remaja apabila dia dirogol sehingga mengandung dan melahirkan anak.

Dalam perkembangan terbaharu, suspek kes itu, seorang penganggur bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan pada Isnin atas pertuduhan merogol mangsa.

Tertuduh, Mohamad Adli Mohamed Kamil, 19, didakwa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah bilik di Kampung Tanjung, Pasir Tumboh di sini pada jam 11 malam, Mac tahun lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, Sharifah Amirda Shasha tidak mencadangkan jaminan, bagaimanapun tertuduh merayu dan berjanji untuk berkahwin dengan mangsa.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 April depan.

Difahamkan, mangsa sudah melahirkan bayi perempuan pada awal Januari lalu. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain