suria

Tun M jadi perhatian, penerima vaksin Covid-19 tertua di Malaysia

Dr Mahathir (duduk) menerima suntikan vaksin Covid-19. foto Twitter @JKJAVMY

TUN Dr Mahathir Mohamad menjadi perhatian apabila menjadi penerima vaksin Covid-19 tertua di Malaysia, setakat ini.

Perkara berkenaan dinyatakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Di umur 96, Tun Mahathir ialah penerima tertua vaksin Covid-19 di Malaysia," katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Ahad yang merujuk kepada Ahli Parlimen Langkawi itu.

Pada 16 Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan ahli politik yang terdiri daripada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) disenarai sebagai penerima vaksin Covid-19 fasa pertama.

Melalui ciapannya juga, Khairy turut menggalakkan lebih ramai warga emas mendaftar bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19.

"Kami menggalakkan lebih ramai warga emas mendaftar bagi fasa dua program imunisasi. #LindungDiriLindungSemua," katanya.

Kerajaan sebelum ini dilapor memulakan fasa pertama pada 26 Februari lalu dengan 500,000 petugas barisan hadapan manakala fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan orang kurang upaya (OKU).

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir menerusi satu hantaran di Facebooknya berkata, beliau memilih untuk disuntik vaksin Covid-19 bersama kumpulan kedua barisan hadapan di Langkawi.

"Hari ini saya ke Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 Daerah Langkawi untuk lihat perjalanan proses vaksinasi bagi fasa pertama.

"Saya memilih untuk disuntik bersama kumpulan kedua barisan hadapan di sini. Kumpulan pertama barisan hadapan di Langkawi sudah divaksin lebih awal," katanya.

Menurut Dr Mahathir, sebagai warga emas, beliau mahu mengajak mereka yang bukan sahaja berumur sepertinya tetapi rakyat yang lebih muda untuk turut bersama divaksin apabila tiba giliran mereka.

"Usaha ini perlu kita sokong. Kita sebolehnya mahu lebih ramai diberi vaksin untuk membantu usaha mengekang pandemik Covid-19.

"Alhamdulillah selepas suntikan saya tidak berasa apa-apa yang luar biasa," katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada kakitangan Klinik Kesihatan Kuah, Hospital Langkawi dan barisan hadapan yang bertungkus-lumus memastikan program vaksinasi berjalan lancar. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain