suria

Tiada sidang Parlimen sehingga 1 Ogos - Takiyuddin

Parlimen tidak akan bersidang dalam tempoh Proklamasi Darurat sehingga 1 Ogos.

PARLIMEN tidak akan bersidang dalam tempoh Proklamasi Darurat sehingga 1 Ogos, kata Datuk Takiyuddin Hassan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata bahawa kenyataan yang dibuat oleh Istana minggu lalu adalah untuk menjelaskan bahawa tidak akan ada sidang Parlimen, dan sebarang keputusan untuk mengadakan persidangan mesti dibuat oleh Kabinet.

"Jadi sekarang ini, Jemaah Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bahawa tidak ada sidang Parlimen. Jadi, itulah keadaan sekarang ini," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Agong perkenan isytihar darurat hingga 1 Ogos, minta rakyat bertenang

Takiyuddin turut menambah keputusan penangguhan itu juga dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen, serta Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama, Takiyuddin mengatakan terdapat ramai ahli Parlimen dikategorikan berisiko tinggi memandangkan 77 daripadang berusia antara 61 hingga 69, sementara 19 ahli lain berusia antara 70 hingga 79 tahun.

Tambahnya, terdapat juga empat ahli Parlimen yang berumur 80 tahun ke atas.

Ketika ini hanya terdapat 220 ahli Parlimen di Dewan Rakyat selepas dua kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong dan Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman.

Takiyuddin juga menambah bahawa apabila Parlimen bersidang, setiap ahli Parlimen akan mempunyai sekurang-kurangnya tiga pegawai yang hadir di Parlimen.

Sementara itu, Takiyuddin mengatakan bahawa Parlimen pernah digantung selama dua tahun dari 1969 hingga 1972 semasa keadaan darurat ketika itu.

"Darurat sekarang adalah sehingga 1 Ogos tahun ini. Itu enam bulan dan 20 hari," katanya.

Malah tambahnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah memberi jaminan untuk Parlimen bersidang setelah darurat berakhir.

"Itu penjelasan dan justifikasi kami. Tidak ada maksud tersembunyi lain," tambahnya. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain