suria

Ismail Sabri hairan SOP Tahun Baharu Cina dikritik hebat, keputusan selepas bincang bersama 21 pertubuhan

Ismail Sabri memberi penjelasan berhubung SOP sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob tampil menjelaskan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang mendapat kritikan hebat.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu menegaskan bahawa SOP tersebut merupakan SOP ketat yang telah dilaksanakan pada setiap perayaan sebelum ini.

Jelasnya, setiap SOP perayaan bukan Islam yang diumumkan kepada orang ramai adalah hasil pembentangan yang dibuat oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan mendapat persetujuan daripada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sebelum membentangkan kepada Sidang Khas MKN, KPN terlebih dahulu wajib mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan bersama wakil setiap pertubuhan keagamaan dan persatuan kebudayaan kaum-kaum terbabit.

"Kemudian, KPN akan mengangkat hasil perbincangan tersebut untuk dibincangkan semula bersama MKN dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) khususnya bagi menilai dari segi risiko kesihatan.

"Setelah keputusan antara KPN, KKM dan MKN dibuat, barulah KPN akan mencadangkan kepada Sidang Khas MKN untuk diluluskan dan selepas diluluskan barulah SOP tersebut diumumkan kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan, petang Jumaat.

Seperti dalam isu Tahun Baru Cina, Ismail Sabri berkata, KPN memaklumkan telah mengadakan dua kali sesi libat urus melibatkan 21 badan pertubuhan agama, persatuan kebudayaan Cina, Buddha, Tao, Kristian, persatuan perniagaan Cina termasuk Sabah dan Sarawak serta pihak-pihak berkaitan bagi sama-sama menyediakan SOP.

"Sebab itulah, agak menghairankan apabila SOP yang dibentangkan untuk Tahun Baru Cina kali ini dikritik hebat oleh masyarakat," katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, sekiranya terdapat sebarang perubahan yang ingin dilakukan oleh KPN selepas mendengar pandangan ramai, kementerian itu boleh membentangkan semula kepada MKN untuk dipertimbangkan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain